Makkal Sakti 'intai' DUN Seremban Jaya?

Makkal Sakti ‘intai’ DUN Seremban Jaya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAMBIL kira beberapa kenyataan dikeluarkan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN), rakan gabungan parti itu Friends of BN dijangka diberi peluang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Salah satu daripadanya adalah Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) yang telah ditubuhkan pada 2009.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai di Negeri Sembilan dikatakan antara kerusi yang menjadi antara tumpuan parti berkenaan untuk dicuba nasib dan ia diakui sendiri oleh Naib Presiden Makkal Sakti yang juga Pengerusi Makkal Sakti Negeri Sembilan, Datuk V. Saravana Kumar.

Ia bukan juga rahsia, malah beliau dilihat telah mula menjalankan gerak kerjanya bagi ‘melobi’ kerusi berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, baru-baru ini difahamkan, Saravana Kumar mengalihkan tumpuannya dan ‘mengintai’ pula peluang di sebuah lagi kerusi DUN iaitu Seremban Jaya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, keputusan Makkal Sakti itu adalah sebagai langkah mengelakkan konflik dan salah faham dengan parti komponen BN yang lain apatah lagi DUN Nilai adalah kerusi tradisi bagi parti MCA.

Jelas beliau, DUN Seremban Jaya pula ditinggalkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ketika ia masih sebagai komponen BN justeru melihat faktor tersebut tiada sebab Makkal Sakti boleh dinafikan peluang untuk bertanding di kerusi tersebut.

“Kami telah berbincang dengan MCA mengenai situasi di DUN Nilai namun tiada respon yang baik, jadi kenapa kami perlu buang masa lagi.

“Kepemimpinan BN pernah memaklumkan kerusi ditinggalkan oleh Gerakan akan dikongsikan di antara parti dalam Friends of BN, jadi tiada apa yang perlu digaduhkan lagi.

“Saya lihat ini jalan penyelesaiannya dan kami telah mulakan gerak kerja kami di Seremban Jaya, apa yang penting kami bekerja dahulu,” katanya lagi.

Saravana Kumar memberitahu beliau telah menerima maklum balas yang baik daripada masyarakat di Seremban Jaya setakat ini, namun saingannya nanti juga bukanlah mudah.

Ia termasuk cabaran penyandangnya ketika ini iaitu P. Gunasekaren, 63, daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga merupakan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Beliau telah memenangi kerusi tersebut sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) termasuk ketika ia dikenali sebagai DUN Senawang,

Jelas Seremban Jaya adalah kubu kuat bagi DAP yang memenanginya dengan majoriti lebih 10,000 undi pada pilihan raya sebelum ini tetapi berdasarkan senario semasa,
dua parti lain juga dijangka akan turut meletakkan calon.

Gerakan pasti akan sekali lagi menguji kekuatannya dan kali ini menerusi gabungan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) malah Parti Warisan Sabah (Warisan) juga dijangka tidak akan ketinggalan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×