PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah memaklum dan mengingatkan kepada pihak-pihak terlibat sebanyak empat kali bahawa tiada sebarang penangguhan diberikan kepada prosiding rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun berlaku penukaran peguam.
Sungguhpun begitu, berdasarkan surat oleh firma guaman, Tetuan Shafee & CO. yang sebelum ini mewakili Ahli Parlimen Pekan itu dari hari pertama beliau didakwa di mahkamah, Najib tetap menamatkan perkhidmatan mereka.
“Walaupun mengetahui tarikh perbicaraan telah ditetapkan lebih awal, perayu (Najib) masih lagi menamatkan perkhidmatan peguam lama dan melantik peguam baharu. Itu adalah haknya tetapi perayu tidak sepatutnya datang ke mahkamah dan menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia untuk menjalankan kes.
“Berdasarkan Peraturan 6(a) Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etiket) 1978 (Kaedah 1978), seseorang peguam tidak boleh menerima sesuatu kes sekiranya tidak mampu menjalankannya. Oleh itu, apabila seorang peguam telah menerima sesuatu kes, beliau perlu dilihat sebagai `mampu untuk menjalankan kes dan mewakili anak guamnya apabila diperlukan.
“Peraturan 1978 ini turut mengenalpasti bahawa Mahkamah di negara ini tidak cenderung untuk memberikan penangguhan kecuali terdapat alasan kukuh. Peraturan asasnya ialah, peguam perlu mengambil semua langkah untuk bersedia menghadapi perbicaraan (termasuk rayuan) pada tarikh yang ditetapkan,” kata Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman sebulat suara menolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan.
Hakim Tengku Maimun bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Menurut Hakim Tengku Maimun, panel lima hakim itu menerima pakai bahawa hak seseorang tertuduh untuk mendapatkan perbicaraan yang adil adalah sebahagian daripada hak untuk hidup dan kebebasan peribadi sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Hak untuk tertuduh memilih peguam pilihannya adalah sebahagian daripada hak mendapatkan perbicaraan yang adil sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Tetapi apa yang ingin kami katakan, hak ini bukan hak mutlak.
“Kami bersetuju, dalam kes yang sesuai, sekiranya peguam tidak bersedia untuk meneruskan kes, Mahkamah boleh mempertimbangkan untuk memberikan penangguhan. Tetapi dalam kes ini, kami tidak berfikiran begitu,” kata Hakim Tengku Maimun.
Memetik kata-kata Hakim Richard Talalla dalam di penghakimannya dalam kes Lai Cheng Chong lawan pendakwaan, Hakim Tengku Maimun menyatakan keadilan yang ditangguh dalam kes ini adalah keadilan yang dinafikan kepada tertuduh kes lain.
“Tidak boleh dipertikaikan ketika ini, keadilan tertangguh di mahkamah yang membawa kepada penafian. Terdapat begitu banyak kes tertunggak.
“Statistik menunjukkan bahawa punca utama bagi situasi malang ini ialah penangguhan perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan, sebahagian besarnya disebabkan oleh peguam yang memohon perkara yang sama atas pelbagai alasan yang boleh dielakkan jika urusan mereka diuruskan dengan adil dan munasabah. Ini mengambil kira kewajipan peguam bukan sahaja kepada anak guam tetapi juga kepada mahkamah dan orang ramai secara amnya.”.
Sementara itu, Najib dalam sidang akhbar selepas prosiding itu, menyuarakan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah semalam.
Dengan reaksi wajah yang jelas menampakkan kekecewaannya, bekas Presiden UMNO itu menyatakan permohonan untuk memasukkan bukti baharu itu cukup kuat untuk diterima mahkamah namun ia tidak berlaku sedemikian.
“Saya terkejut. Saya kecewa dengan keputusan mahkamah yang tidak membenarkan saya memasukkan bukti baharu yang saya sesungguhnya percaya Hakim Mohd. Nazlan mempunyai konflik kepentingan yang tinggi,” ujarnya.
Hisyam pula dalam sidang media yang sama menyatakan, pihaknya akan berbincang mengenai langkah yang boleh diambil berdasarkan keputusan mahkamah itu dan akan memaklumkan kepada mahkamah mengenainya esok. – UTUSAN










