MAHA 2022 tampil kluster baharu Agro Edutainment - Utusan Malaysia

MAHA 2022 tampil kluster baharu Agro Edutainment

PEMPAMER Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melakukan persiapan ketika tinjauan persiapan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kluster Agro Edutainment yang berkonsepkan penerokaan agro menjadi salah satu tarikan baharu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 14 Ogos.

Timbalan Pengurus Besar Operasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Abd. Rahman Mahmood berkata, kluster tersebut mengetengahkan pelbagai daya tarikan dan inovasi mekanisasi serta pendidikan berkaitan pertanian, perikanan, penternakan dan keusahawanaan.

Menurutnya, lapan subkluster utama yang dipamerkan menerusi MAHA 2022 kali ini meliputi Paddy Tech, Urban Farming, Pet Zoonia, Aqua Life, Agric Edu, Edu Lounge, Chef Corner dan Pocket Stage.

“Kluster baharu ini memfokuskan pendidikan melalui hiburan jadi pengunjung yang hadir ke sini dapat menambah pengetahuan mereka selain menimba pengalaman baharu yang mungkin tidak pernah dirasai sebelum ini.

“Agro Edutainment menampilkan pameran ekosistem padi yang sangat berguna kepada kehidupan selain memaparkan aneka ragam fauna di sawah sebagai pendedahan kepada pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kluster Agro Edutainment berkata, pengunjung yang hadir turut berpeluang untuk merasai sendiri penggunaan dron bagi sektor pertanian melalui aktiviti simulasi khas yang disediakan.

Tambah beliau, selaras dengan tema MAHA 2022 ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’, pengunjung juga dapat melihat sendiri konsep pertanian bandar menerusi sub-kluster Urban Farming dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan.

“Menelusuri subkluster Aqua Life, pengunjung dapat melihat keindahan hidupan air yang memaparkan pelbagai kesenian menghias tanaman di dalam air seperti susunan tumbuhan akuatik, batu dan kayu secara estetik di dalam akuarium dengan tataan gaya berbeza.

“Selain maklumat berbentuk pameran, pengunjung juga boleh menyertai seminar dan talk show yang diadakan bagi mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan keusahawanan,” jelasnya.

Ditanya mengenai jangkaan pengunjung, Abd Rahman berkata, KADA menjangkakan kira-kira 50,000 pengunjung bakal mengunjungi kluster tersebut sepanjang 11 hari berlangsungnya pameran.

“Sebelum ini kita menumpang di Laman Padi tapi sekarang kluster ini dapat berdiri sendiri sebagai sebuah kluster baharu dan kita jangka ia bakal menjadi tarikan terbaik di MAHA 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN