MAG muktamad perolehan 20 pesawat A330neo - Utusan Malaysia

MAG muktamad perolehan 20 pesawat A330neo

WEE Ka Siong (belakang kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara MAG dan Avolon di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd. memperkukuh operasinya menerusi perolehan 20 pesawat penumpang baharu jenis A330neo bagi menggantikan pesawat sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail berkata, perolehan pesawat A330neo itu dimuktamadkan bagi menggantikan secara berperingkat 21 buah A330ceo yang digunakan ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan dua buah pesawat baharu serba moden itu akan diterima selewat-lewatnya suku kedua 2024 manakala bakinya diterima secara berperingkat menjelang 2028.

“Menerusi perjanjian awal, syarikat tidak mengeluarkan sebarang kos untuk perolehan kesemua pesawat ini kerana 10 pesawat akan dipajak, manakala 10 lagi akan dibeli dan dipajak semula kepada Avolon, syarikat pemajakan pesawat antarabangsa.

“Pesawat A330neo menjadi pilihan kerana ia mampu meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pembakaran bahan api selain mengekalkan keselamatan serta keselesaan penumpang sebagai terasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAG dan Avalon di sini hari ini yang turut disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Katanya, perolehan pesawat baharu itu akan memacu MAG bagi menjayakan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 sekali gus meletakkan kumpulan itu selaku peneraju kumpulan perkhidmatan penerbangan di rantau ini.

Izham berkata, pesawat baharu itu akan digunakan bagi memperkukuhkan operasi penerbangan di Asia, Pasifik dan Asia Barat.

Menurutnya, pesawat berkenaan juga menampilkan susun atur premium yang akan menempatkan 300 penumpang dalam dua kelas penerbangan.

“Pesawat itu juga menggunakan enjin generasi terkini, sayap terbaru dan pelbagai inovasi dalam aspek aerodinamik selain menawarkan sehingga 25 peratus pengurangan dalam penggunaan bahan api dan sisa buangan serta mampu untuk terbang sehingga 7,200nm bagi setiap 13,300 kilometer (km) tanpa henti,” katanya.

Katanya, A330neo juga menampilkan konsep ruang kabin yang telah memenangi anugerah, dan memberikan penumpang pengalaman baru dari segi tahap keselesaan dan reka bentuk.

Pada penghujung Julai 2022, pesawat A330neo telah menerima lebih 270 tempahan daripada lebih 20 pelanggan di seluruh dunia.

Dalam pada itu Izham berkata, Airbus dan MAG turut menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk menerokai peluang usahasama yang lebih luas dalam bidang kelestarian, latihan, penyelenggaraan dan pengurusan ruang udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya