PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan membuat keputusan berhubung kelonggaran pemakaian pelitup muka seperti yang dilaksanakan Singapura bermula hari ini.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada kementerian berkenaan dengan pelbagai kejayaan yang dilakukan bagi menangani wabak Covid-19 sejak 2020.
Beliau menegaskan dirinya sendiri ada membangkitkan perkara itu kepada Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali keperluan pemakaian pelitup muka sekiranya situasi sudah baik.
Katanya, dia (Noor Azmi) mengatakan KKM akan melihat perkara terbabit dengan lebih terperinci. Tindakan ini bukan kerana Singapura buat, maka Malaysia akan buat.
Apapun saya fikir sekarang ini, Mungkin ada kebiasaan baharu untuk penduduk tempatan atau warga asing apabila memakai pelitup muka tanpa dipaksa
“Sekiranya ia sudah menjadi kebiasaan, mungkin ada baiknya Kementerian Kesihatan membuat keputusan, kewajipan pemakaian pelitup muka sudah tidak lagi perlu tetapi kalau mahu pakai dan mahu rasa lebih selamat, mereka bolah pakai pelitup muka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN ke lapan bagi tahun 2022 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Singapura yang tidak lagi mewajibkan penduduknya untuk memakai pelitup muka, mulai hari ini.
Bagaimanapun, mereka masih perlu memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam dan di tempat berisiko tinggi seperti kemudahan kesihatan.
Muhyiddin berkata, keputusan ini diserahkan kepada Kementerian Kesihatan kerana bukan di bawah bidang MPN.
“Kita di MPN hanya memberi pandangan dan saya serah kepada KKM untuk mempertimbangkan perkara itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pihaknya mendapati banyak lagi perkara yang perlu dilakukan bagi merancakkan sektor pelancongan negara.
“Banyak lagi usaha perlu dilakukan kerana sektor pelancongan adalah sektor yang memacu berbilion Ringgit kepada negara.
“Kami sudah dengar pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya maka kami bagi pandangan berbeza dan mahukan tempoh pemilihan pelancongan dependekkan dari empat tahun kepada tiga tahun,” katanya. –UTUSAN










