PULUHAN tahun rakyat Kelantan sudah sinonim dengan simbol bulan yang menjadi lambang perjuangan Pas sehingga berjaya merampas semula pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada 1990.
Kekuatan simbol bulan dengan rakyat negeri ini boleh dilihat setiap kali tiba Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) apabila dijadikan modal kempen yang mudah ditanam dibenak pemikiran pengundi untuk memangkah lambang tersebut berbanding dacing (BN) atau lain-lain.
Mengambil kira situasi itu, langkah Pas untuk menggantikan simbol bulan dengan lambang Perikatan Nasional (PN) dilihat boleh menyebabkan parti tersebut berada dalam kedudukan tidak selamat.
Hal ini kerana PN tidak mempunyai kekuatan yang mampu menghadirkan ‘gerun’ kepada BN di bawah pimpinan UMNO atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Mana tidaknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mempunyai dua kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN). Ketiga-tiga kerusi tersebut iaitu Tanah Merah dan Jeli (Parlimen) serta Bukit Bunga (DUN) adalah milik BN selepas menang pada PRU14 lalu.
Bagaimanapun, semua itu bertukar ‘tangan’ apabila pemenangnya Datuk Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli dan Bukit Bunga) membuat keputusan meninggalkan BN dan lompat ke Bersatu.
Putrajaya
Difahamkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin pula mahu bertanding di Parlimen Putrajaya selepas kalah teruk di Ketereh pada PRU14. Menteri Kanan Pendidikan itu difahamkan sudah ‘ligat’ turun padang menjelajah Putrajaya untuk berkenalan dengan penduduk di kawasan berkenaan.
Situasi itu memberi gambaran jelas bahawa Bersatu tidak mempunyai kekuatan untuk membantu Pas menjadi lebih ‘mantap’ bagi berdepan seteru tradisi di negeri ini iaitu BN selain PH.
Justeru, Pas sepatutnya mempertahan simbol bulan yang menjadi tunjang kekuatan mereka sehingga berjaya mentadbir negeri ini selama 32 tahun.
Sungguhpun mahu bekerjasama dengan Bersatu, Pas sepatutnya ‘berkeras’ dengan meminta parti itu menggunakan simbol bulan di negeri ini berbanding PN.
Suara akar umbi yang menolak penggunaan logo PN di negeri ini perlu didengari dan dijadikan sebagai ‘pedoman’ kerana mereka adalah tunjang kekuatan utama parti.
Walaupun keputusan mutlak terletak pada pucuk kepimpinan tertinggi parti tetapi akar umbi adalah pendukung yang sentiasa ‘bermandi’ peluh bagi memastikan kemenangan mampu dicapai selain bermunajat.
Tanpa akar yang mencari air dan menyerap semua nutrien di dalam tanah, manakan pohon boleh berdiri teguh serta berbuah lebat.
Bak kata penceramah Pas: ‘Pusing-pusing jalan, dulu dacing sekarang bulan’.- UTUSAN










