fbpx

Lepasan SPM bimbang salah pilih jurusan, terpaksa tanggung hutang

SELAIN bimbang silap memilih jurusan, terdapat dalam kalangan lepasan SPM memikirkan sama ada mahu sambung belajar kerana ramai yang sudah berada dalam industri pekerjaan seperti restoran makanan segera dan penghantar makanan.

PETALING JAYA: Kebimbangan tersilap memilih jurusan sekali gus menjejaskan peluang mendapat pekerjaan pada masa depan yang membawa kepada kesukaran membayar semula pinjaman pelajaran, menjadi antara punca ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menangguh kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, mereka juga memikirkan sama ada mahu sambung belajar atau sebaliknya kerana ramai yang sudah berada dalam industri pekerjaan seperti restoran makanan segera dan penghantar makanan.

Akibat gagal membuat keputusan mengenai pendidikan mereka, ramai yang tidak menyambung pengajian sekali gus bakal menjejaskan pembangunan masa depan negara apabila kekurangan tenaga kerja berkemahiran.

Seorang lepasan SPM 2021, Nurul Aqilah Abdullah berkata, dia bukan tidak mahu sambung belajar tetapi masih memikirkan jurusan yang sesuai dengan dirinya kerana bimbang jika tersalah masuk ke dalam bidang lain.

Menurutnya, kebanyakan rakan sebayanya juga sedang memikirkan apa perlu dibuat ketika ini dan hampir semua daripada mereka sedang sibuk bekerja sehingga ada yang lupa mengenai sambung pembelajaran.

“Saya bukan sudah putus untuk tidak sambung belajar tetapi masih berfikir sama ada nak sambung belajar atau tidak kerana risau masalah-masalah dari segi kebolehupayaan untuk mendapat kerja dan tekanan-tekanan lain.

“Sekarang ni saya bekerja di sebuah kedai minuman bersama beberapa rakan sebaya lain. Rata-rata memang semua tengah fikir sama ada nak sambung (pelajaran) atau tidak, semuanya ada keraguan seperti saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, kaji selidik Jabatan Pe­rangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Seorang lagi lepasan SPM 2021, Nur Nabila Huda Mohammad Rosli berkata, dia menghadapi tekanan kewangan dan kemungkinan tidak akan menyambung pembelajaran.

“Sayat tidak pasti sama ada mahu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana bimbang dibelenggu hutang selepas tamat pengajian,” katanya. – UTUSAN 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN