PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing ditahan di hadapan sebuah kondominium di Kota Damansara selepas disyaki terlibat kes cabul membabitkan seorang wanita.
Penahanan suspek berusia 30-an itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat seorang wanita warga tempatan kira-kira pukul 1 pagi tadi mengenai kejadian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, wanita berusia 30-an itu memaklumkan ketika dia berjalan kaki menuju ke kenderaan rakannya yang sedang menunggunya di tepi jalan dia telah merasa punggungnya dipegang dan diramas.
Kata Mohamad Fakhrudin, mangsa telah menoleh sebelum melihat suspek berada di sebelahnya.
“Wanita berkenaan terus menjerit dan menyebabkan suspek melarikan diri daripada tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan siasatan sebelum menahan suspek berkenaan.
Ujar beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
“Suspek akan dibawa ke hadapan Majistret untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN