Lelaki rompak, bakar kedai runcit dipenjara 17 tahun - Utusan Malaysia

Lelaki rompak, bakar kedai runcit dipenjara 17 tahun

TERTUDUH (tengah) dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun selepas mengaku bersalah merompak, menyebabkan kecederaan dan membakar kedai runcit, 23 Julai lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa Mahkamah Sesyen di sini hari ini di hadapan hakim Tuan Ahmad Faizadh Yahaya. 

Tertuduh, Zulkiflee Jaafar, 50, bagaimanapun hanya menjalani hukuman penjara sembilan tahun selepas hukuman ke atasnya iaitu masing-masing sembilan dan lapan tahun berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Nur Hasanah di sebuah rumah kedai Mara Felda Tersang di Raub kira-kira pukul 2 pagi pada 23 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kedai runcit milik Siti Zulaikha Jalaludin sehingga menyebabkan kerosakan kepada premis tersebut dan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rifa’ah’ Izzafi Abdul Mutalif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun bagi pertuduhan pertama manakala hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan kedua yang mana hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Baru-baru ini, seorang perompak dilaporkan bertindak kejam apabila bukan hanya membelasah seorang pekerja sebuah kedai runcit sehingga mangsa nyawa-nyawa ikan, malah, turut membakar premis itu ketika mangsa di dalam premis itu dalam kejadian di Felda Tersang 1 di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa merupakan wanita warga Indonesia turut dicampak ke dinding dan lantai selain lehernya dijerut, manakala tangannya diikat menggunakan pita pelekat.

Bagaimanapun, wanita berusia 40 tahun itu bernasib baik apabila dia terselamat daripada mati rentung kerana sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kedai yang terbakar itu. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya