fbpx

Lelaki mengaku salah tetak pengawal keselamatan kini dituduh membunuh

TERTUDUH, R. Subramaniam dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan membunuh pengawal keselamatan di Sungai Petani, Kedah. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI: Lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan kepada pengawal keselamatan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

Tertuduh, R. Subramaniam, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan di bawah seksyen itu susulan tindakan polis mengklasifikasikan semula kes mencederakan mangsa, Ismail Ahmad, 58, yang berlaku di sebuah tapak projek perumahan sebagai kes bunuh.

Ia selepas mangsa yang menerima rawatan sejak Khamis lalu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang, semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam yang tiada pekerjaan tetap didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail di kawasan pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan di sini pada 4.40 petang 4 April lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Arthini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Semalam, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan mengaku bersalah kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dan polis merujuk semula kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya yang mengarahkan kes dituduh semula mengikut Seksyen 302. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!