PETALING JAYA: Pengarah urusan sebuah syarikat dipercayai individu dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dituduh berhubung kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, individu berkenaan dikatakan sebagai ‘orang penting’ terlibat dalam proses perolehan projek pembinaan enam kapal tempur LCS yang membabitkan nilai RM9 bilion.
Kata sumber, sebelum mencadangkan pendakwaan, SPRM melakukan siasatan beberapa tahun lalu dengan mengambil keterangan lebih 35 saksi berhubung projek mega tersebut.
“Kesemua yang dipanggil SPRM dipercayai membabitkan individu dari Kementerian Pertahanan dan syarikat korporat yang ditawarkan projek LCS.
“Keterangan juga diambil melibatkan syarikat swasta di dalam dan luar negara,” jelas sumber.
Menurut sumber, SPRM hanya menyiasat, melengkapkan siasatan, seterusnya mengesyorkan pertuduhan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Selepas itu, AGC akan memutuskan sama ada kes boleh dibuat pertuduhan atau tidak tertakluk kepada hasil siasatan dikemukakan dan paling akhir penilaian dibuat AGC,” jelasnya.
Mengesahkan
Minggu lalu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan kertas siasatan mengenai projek perolehan kapal tempur itu telah dikemukakan kepada AGC.
Kertas siasatan projek LCS itu termasuk dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, mengikut prosedur SPRM selepas menyerahkan laporan siasatan kepada AGC, agensi itu kini menunggu arahan lanjut daripada agensi itu mengenai status kertas siasatan tersebut.
Sebelum ini, kerajaan menggesa SPRM dan AGC segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek LCS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas ia dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan pihaknya.
Mendesak
Ia sekali gus menepis dakwaan pelbagai pihak yang berterusan mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan.
Antara yang lantang mendesak ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam laporan tersebut, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek LCS, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) bagi projek runding terus namun tiada kapal diterima setakat ini.
SPRM kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak terbabit menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan.
Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran lebih RM6 bilion. – UTUSAN










