Lake Chini umpama resort berhantu - Utusan Malaysia

Lake Chini umpama resort berhantu

KEADAAN Lake Chini Resort berhampiran Tasik Chini di Pekan, Pahang yang terus terbiar dinaiki pokok-pokok menjalar hingga boleh diumpamakan resort berhantu. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sejak ditutup bermula 2019 ekoran ketiadaan pelancong, Lake Chini Resort terletak berhampiran Tasik Chini di sini terus dibiarkan tidak terurus hingga boleh diumpamakan resort berhantu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, resort yang dahulunya cukup popular dalam kalangan pelancong dalam dan juga luar negara serta boleh ditempah secara dalam talian di Agoda dan Booking telah dipenuhi sampah sarap dan rumput panjang, hingga menyakitkan mata memandang.

Kira-kira 16 jenis bilik yang terdapat di resort itu juga keadaannya amat teruk seolah-olah dipecah masuk berdasarkan keadaan di dalamnya yang mengalami kerosakan, termasuk pendingin hawa seperti dicuri.

Difahamkan, sejak terbiar, resort tiga bintang tersebut turut menjadi sarang penagih dadah dan perbuatan tidak bermoral khusus membabitkan remaja di tanah rancangan Felda berhampiran resort berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Chini yang hanya ingin dikenali sebagai Ajie berkata, keadaan di resort itu ketika ini cukup menyedihkan jika dibandingkan sewaktu zaman kegemilangannya.

Sebelum ini katanya, resort ini cukup meriah dengan kehadiran pelancong terutama dari luar negara sehingga memberi limpahan rezeki kepada penduduk setempat di sini.

“Sebagai penduduk lama di Felda Chini, saya cukup sedih melihat keadaan resort ini yang terus terbiar seolah-olah tiada usaha untuk kembali memulihkannya.

“Sayang apabila semua kelengkapan di resort ini rosak dan terbiar begitu sahaja, bilik-bilik penginapan pun yang semua berhawa dingin habis rosak termasuk dipecah masuk pencuri,” katanya di sini semalam.

Ajie berkata, cafe dan restoran di resort ini juga suatu ketika dahulu meriah termasuk turut dihadiri oleh penduduk setempat di situ termasuk masyarakat Orang Asli.

“Kalau hendak cakap dulu memang meriah di resort ini, tapi kini cukup sedih lihat keadaannya,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap pihak wajib mengambil alih untuk menguruskan Lake Chini Resort atau ditawarkan kepada mana-mana pihak yang mampu memulihkannya.

“Negara telah pun memasuki fasa peralihan endemik kesan penularan wabak Covid-19, diharap resort ini dan Tasik Chini akan segera pulih dan kembali menjadi destinasi pelancongan terkenal seperti yang pernah dilakar sebelum ini.

“Semua pihak ketika ini perlu bersama-sama memikirkan kaedah terbaik untuk membantu memulihkan Lake Chini Resort supaya tidak terus berkubur begitu sahaja.

“Jangan terus dibiarkan sehingga menyembah bumi, kalau nak buat baharu, kosnya lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya