PETALING JAYA: Gagal mematuhi Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 (Akta 685) sepenuhnya didakwa menjadi antara punca lebih 600,000 golongan itu sentiasa berdepan dengan diskriminasi di negara ini.
Antara kebolehaksesan yang termaktub dalam akta yang diwartakan itu adalah kebolehaksesan golongan OKU kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awam dan akses kepada kemudahan pengangkutan awam.
Selain itu, kebolehaksesan golongan itu juga merangkumi akses kepada pendidikan, pekerjaan, maklumat, komunikasi dan teknologi, kehidupan berbudaya serta rekreasi, santai dan sukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (POKUAM), Suhairi Abdullah berkata, akta OKU tersebut sudah lengkap tanpa sebarang kelompongan, namun kesedaran dalam melaksanakan apa yang termaktub dalam akta tersebut masih lagi rendah.
Katanya, ini kerana kurang 10 peratus pelaksanaan yang diambil terhadap kerajaan mahupun swasta dalam mematuhi perkara yang digazetkan 14 tahun lalu.
“Bukan saya keterlaluan, tetapi masyarakat dan semua orang sendiri boleh menilai. Tak ikut sepenuhnya akta tersebut seperti kemudahan untuk OKU, kuota pekerja, kesihatan dan pendidikan.
“Perkara itu sudah termaktub dalam akta OKU, kerajaan kena ikut dan bukan sekadar buat (undang-undang), tetapi perlu ada pemantauan dan tegasan supaya ikut apa yang termaktub itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, diskriminasi terhadap OKU di tempat kerja masih berleluasa di negara ini dengan hampir 100 aduan mengenainya setiap bulan.
Kebanyakan aduan yang diterima membabitkan dakwaan ketidakadilan majikan dan rakan sekerja.
Antaranya diberikan jawatan tanpa mengikut kelayakan walaupun ada kalangan mereka berkelulusan tinggi sehingga peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Mereka turut mendakwa dipandang rendah majikan, malah diherdik kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja seperti kakitangan normal yang lain.
Mengulas lanjut, Suhairi berkata, kemudahan yang disediakan kepada golongan itu juga kebanyakannya masih di takuk lama tanpa sebarang pemantuan dan ketegasan.
Katanya, ini kerana kebanyakan kemudahan yang disediakan itu juga sekadar ‘asal ada’ tanpa mengambil kira kebajikan golongan OKU sepenuhnya.
“Di bangunan jabatan kerajaan yang baharu ada kemudahan, tetapi bangunan lama, bangunan di daerah atau pekan kecil memang tak ada langsung, apatah lagi syarikat (bangunan persendirian) memang tak ada sebab nak sediakan kemudahan OKU kerana bukan mudah.
“Garisan kuning di laluan pejalan kaki, lif, papan tanda masih tidak disediakan tulisan Braille yang kebanyakannya masih di takuk lama.
“Kita sudah bangkitkan dalam banyak tempat, ada sesetengah tempat langsung tak ada kemudahan. Kalau ada pun tak ikut spesifikasi yang betul seperti ram yang terlalu tinggi dan parkir kecil untuk OKU,” ujarnya. – UTUSAN










