KPDNHEP rampas 10,859 liter diesel cuba diseleweng

KPDNHEP rampas 10,859 liter diesel cuba diseleweng

SEBUAH gudang yang diserbu penguatkuasa KPDNHEP yang dipercayai menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Jalan Jeniang Gunung, Gurun, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Sebanyak 10,859 liter minyak diesel disita dalam serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap sebuah gudang di Jalan Jeniang Gunung, di sini hari ini. 

Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Khanth berkata, seorang lelaki berusia 40-an turut ditahan dalam serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 pagi itu. 

Katanya, bahan api bersubsidi itu disyaki cuba diseleweng oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan dengan cara tidak sepatutnya. 

“Lokasi tersebut dipercayai dijadikan sebagai pusat pengumpulan minyak diesel. Minyak-minyak itu dipercayai dibeli daripada beberapa stesen minyak dalam daerah ini sebelum dijual semula kepada pihak industri. 

“Semasa serbuan dijalankan, gudang tersebut didapati sedang beroperasi. Seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak sebagai penjaga kawasan tersebut turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, kesemua 10,859 liter minyak diesel itu ditemukan dalam tangki skid dan tangki besi yang berada dalam gudang berkenaan. 

“Sebuah lori dilengkapi tangki tambahan turut ditemukan dalam gudang itu. Melalui keterangan awal yang diperolehi, premis tersebut tidak mempunyai sebarang lesen atau permit sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi tersebut. 

“Sehubungan itu pasukan serbuan terdiri daripada lapan pegawai dan anggota KPDNHEP Kedah menyita minyak diesel tersebut serta lori, hos dan pam yang berada di situ dengan anggaran nilainya berjumlah kira-kira RM68,800,” katanya. 

Menurutnya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana beroperasi atau menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen. 

“Selain itu, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN