KPDNHEP Perlis patahkan cubaan seludup diesel subsidi

KPDNHEP Perlis patahkan cubaan seludup diesel dan petrol subsidi

MOHAMAD Amir Abdullah menunjukkan tangki tambahan diubahsuai pada kenderaan pacuan empat roda yang dirampas dalam serbuan di sebuah setor sekitar Kampung Melayu Padang Besar, Perlis hari ini. - FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludupan diesel dan petrol bersubsidi RON95 dalam satu serbuan di sebuah setor sekitar Kampung Melayu Padang Besar di sini hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perlis, Mohamad Amir Abdullah berkata, menerusi serbuan bermula pukul 7 pagi itu, pihaknya berjaya merampas 2,395 liter petrol RON95 dan 850 liter diesel dianggarkan bernilai RM6736,25.

Mohamad Amir berkata, dua kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran asing yang telah diubah suai tangki bagi melakukan penyeludupan bahan kawalan itu turut dirampas dalam serbuan terbabit.

“Nilai rampasan keseluruhan dalam operasi ini meliputi petrol RON95, diesel, kenderaan dan beberapa peralatan lain adalah berjumlah RM138,186,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Amir berkata, sewaktu serbuan dilaksanakan, premis setor terbabit dipercayai berpenghuni dan suspek terlibat juga didapati melarikan diri daripada ditahan penguatkuasa KPDNHEP.

Menurutnya, premis terlibat juga dipercayai telah beroperasi sejak April lalu dan suspek juga dikenalpasti masih menggunakan modus operandi yang sama bagi menggelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi yang digunakan adalah sama seperti beberapa sindiket penyeludupan diesel dan petrol RON95 sebelum ini di mana terdapat warga tempatan akan mengambil bahan berkenaan di stesen-stesen minyak berhampiran dan mengumpulnya di sebuah setor.

“Difahamkan, serbuan di setor ini adalah merupakan kali kedua di mana lokasi ini juga pernah digempur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini,” katanya. 

Tambahnya, serbuan berkenaan digerakkan berdasarkan aduan awam dan risikan selama dua minggu dilakukan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dimana jika sabit kesalahan boleh denda RM1 juta atau penjara tiga tahun manakala kesalahan kali kedua pula boleh didenda sehingga RM3 juta serta penjara selama lima tahun,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN