SERDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan dua prinsip utama perjuangan Perikatan Nasional (PN) iaitu Prihatin Rakyat dan Integriti.
Pengerusi PN itu berkata, jutaan rakyat di luar sana sudah muak, jelik dan benci dengan amalan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa yang meninggalkan banyak titik hitam dalam sejarah negara ini.
Katanya, perkara itu sekali gus bukan sahaja merobek kantung negara malah mencalar imej tanah air di mata dunia.
“Kerana itu, kedua-dua prinsip ini menjadi asas pentadbiran Kerajaan PN. Ketika PN mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada bulan Mac 2020, saya faham dua masalah utama yang dihadapi oleh rakyat pada waktu itu ialah Covid-19 dan ekonomi.
“Bagaimana rakyat nak selamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka daripada ancaman Covid-19 dan menampung pendapatan yang terjejas akibat pandemik,” katanya dalam ucap tama Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sni hari ini.
Tegasnya, berdasarkan dua prinsip itu, keberadaan di dalam PN bukan untuk kepentingan politik peribadi, tetapi membela kebajikan rakyat dan memajukan negara menerusi kepemimpinan dan pentadbiran yang beramanah serta berintegriti.
“Kita mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. Kerana itu, dalam konvensyen pada hari ini, jangan kita berbincang soal diri kita sendiri, atau puak kita sendiri, atau kabilah kita sendiri.
“Jangan kita bicara apa aku dapat, apa puak aku dapat, apa kabilah aku dapat. Tetapi marilah kita bersama-sama memikirkan apa tawaran kita kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










