Kontraktor nafi tipu jual beli kereta, perdaya wanita dalam isu muflis - Utusan Malaysia

Kontraktor nafi tipu jual beli kereta, perdaya wanita dalam isu muflis

NG Tai Wei didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini atas tiga pertuduhan memperdayakan mangsa melibatkan penjualan kereta dan menyelesaikan masalah muflis. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan penipuan pembelian kenderaan dan isu menyelesaikan masalah muflis membabitkan kerugian berjumlah RM40,090.50.

Tertuduh, Ng Tai Wei, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh memperdayakan dua lelaki bagi pembelian kenderaan model Toyota Vellfire dan Honda HR-V yang tidak wujud dan mendorong kedua-duanya memindahkan wang deposit berjumlah RM10,000 dan RM2,000 ke dalam akaunnya.

Kesalahan itu dilakukan dalam daerah Alor Gajah pada 26 dan 27 Julai 2022.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh memperdayakan seorang wanita yang mendorong mangsa membuat pembayaran berjumlah RM28,090.50 ke dalam akaunnya bagi menyelesaikan masalah muflis dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Sungai Indah dalam daerah Alor Gajah pada 1 Februari hingga 5 Oktober 2018.

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan berjumlah RM65,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 September depan sebagai sebutan semula kes. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya