Kerajaan digesa campur tangan isu upah penghantar makanan

Kerajaan digesa campur tangan isu upah penghantar makanan

SEKUMPULAN penghantar makanan berhimpun membantah tindakan syarikat yang didakwa mengurangkan upah perkhidmatan mereka di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan digesa campur tangan menyelesaikan kemelut yang dihadapi penghantar makanan atau rider berikutan syarikat penghantaran makanan didakwa mengurangkan upah perkhidmatan mereka menghantar makanan.

Seorang penghantar makanan di sini yang hanya mahu dikenali Zack berkata, mereka sudah tidak mampu untuk bertahan dengan tindakan yang dikenakan oleh syarikat.

Menurutnya, mereka yang tertekan dengan kenaikan kos sara hidup, kini ditambah pula dengan pengurangan upah perkhidmatan mereka menghantar makanan hingga mereka melancarkan mogok 24 jam bermula malam tadi atau ‘blackout’.

Blackout ini disebabkan kami tidak puas hati kerana syarikat mengurangkan bayaran upah atas khidmatan penghantaran yang kami lakukan.

“Apabila kami hantar satu pesanan dalam jarak dekat, kami menerima bayaran RM4 tetapi bila kami dapat pesanan berganda atau tiga kali sehala, bayaran yang kami terima adalah antara RM6 hingga RM8, jadi mana baki duit jika kami hantar tiga lokasi sepatutnya RM12.

“Ke mana wang kami? Siapa yang ambil, siapa yang makan duit itu kerana itu hak kami duit kami dan bukan hak syarikat, itu sebab kami marah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zack berkata, sebelum ini pada tahun 2020, dia mampu memperoleh pendapatan RM130 hingga RM150 sehari bagi tempoh menghantar makanan bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Katanya, namun pendapatnya berkurangan walaupu keluar rumah pukul 7 pagi dan balik 11 malam, dia dapat tidak lebih RM95 sehari dan kadang-kadang kurang daripada itu.

“Syarikat-syarikat penghantaran makanan sepatutnya kaji kesilapan dan kelemahan mereka dan perbaikinya.

“Kalau majikan tidak jaga hati kami, macam mana kami nak jaga hati pelanggan,” katanya.

Beliau berharap kerajaan memberi perhatian terhadap nasib nasib penghantar makanan yang berdepan isu upah perkhidmatan mereka dikurangkan.

Sebelum ini dilaporkan penghantar makanan bagi beberapa syarikat penghantaran makanan dalam negara mahu melancarkan mogok untuk 24 jam bermula tengah semalam.

Mogok Food Delivery Blackout itu berpunca daripada ketidakpuasan hati penghantar makanan dengan skala pembayaran yang tidak adil digunakan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.

Begitupun, hari ini sebuah syarikat penghantar makanan  mengembalikan ganjaran upah kepada penghantar makanan selepas tular kempen mereka akan mogok 24 jam.

Melalui notis tersebut, syarikat penghantar makanan itu memberikan bonus tambahan untuk penghantar makanan yang bekerja pada tarikh ditetapkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya