Kera kerap rosakkan bumbung, peralatan rumah

Kera kerap rosakkan bumbung, peralatan rumah

NADRAH Mat Deli menunjukkan sekumpulan kera yang berada di atas bumbung rumahnya di Kampung Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sejak enam bulan lalu, penduduk Kampung Pinang Tunggal di sini dihantui keresahan gara-gara kediaman diceroboh kera yang turut merosakkan bumbung dan peralatan rumah.

Dakwa penduduk, mereka kini bimbang apabila sekumpulan kera dianggarkan lebih 20 ekor semakin berani memasuki rumah dan mendekati kanak-kanak yang bermain di halaman rumah.

Penduduk, Nadrah Mat Deli, 51, berkata, kehadiran haiwan liar itu semakin tidak mengira waktu sejak kebelakangan ini menyebabkan mereka terpaksa menutup dan mengunci kediaman sepanjang masa.

“Selain pokok buah-buahan dimusnahkan, haiwan ini turut mencabut bumbung untuk memasuki rumah bagi mencari makanan di dapur.Kami terpaksa keluarkan belanja tambahan bagi membaiki kerosakan selain memasang jaring atau kawat duri sebagai penghalang kera memasuki kediaman,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penduduk, Halim Hassan, 54, berkata, kumpulan haiwan terbabit dipercayai datang dari hutan berhampiran untuk mencari makanan ekoran banyak kawasan itu di kampung ber­kenaan dibersihkan untuk tujuan membina kediaman.

“Sebelum ini kera tidak pernah kelihatan, namun sejak enam bulan lalu haiwan itu dilihat semakin kerap muncul di kawasan kejiranan kami.

“Mula-mula dahulu penduduk memberi sisa makanan kerana kasihan kepada haiwan itu yang dilihat lapar, namun kini ke­adaan berlaku sebaliknya kerana bilangannya semakin bertambah hingga menggangu aktiviti seha­rian kami,” katanya.

Suri rumah, Aisyah Razak, 45, yang mempunyai dua anak kecil berkata, dia amat bimbang haiwan itu akan bertindak ganas dan mencederakan anak-anaknya jika tidak diberi makanan.

“Setiap kali kemunculan haiwan itu, saya akan mengunci pintu dan tingkap serta memastikan anak tidak berada di dapur secara bersendirian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Walaupun pelbagai cara digunakan untuk menghalau haiwan itu, namun ia tetap akan kembali semula mencari makanan dan jika gagal mempero­lehnya kawanan kera itu akan merosakkan barangan rumah kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN