PUTRAJAYA: Mereka yang berhasrat membeli sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) atau juga dikenali sebagai dron di negara ini bakal perlu mendaftar diri menjelang akhir tahun depan.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo bagi pengawalseliaan operasi dron yang bebas ketika ini.
Malah ujarnya, agensi itu turut akan memperkenalkan Sistem Pengurusan Trafik UAS (UTM) menerusi pindaan Peraturan Penerbangan Awam 2016 yang bakal dibentangkan di Parlimen,
“Kami baharu sahaja hantar draf tersebut kepada pihak Kementerian Pengangkutan hari ini dan jangka ia boleh diwartakan menjelang suku pertama 2023,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Bengkel Pengoperasian UAS Bersama Petugas Media Putrajaya yang dirasmikan menteri berkenaan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, di sini hari ini.
Pada ketika ini, semua pengendali dron dan organisasi latihan pesawat tersebut hanya tertakluk kepada peraturan tertentu di bawah Arahan Penerbangan Awam 6011 Bahagian I, II dan V.
Bagaimanapun, ramai individu dikesan menerbangkan dron tanpa permit CAAM sama ada secara sengaja atau tidak sedar ia melanggar undang-undang sehingga menyebabkan nahas.
Ada yang berani menceroboh kawasan larangan ditetapkan kerajaan namun berjaya dijejak setelah memuat naik hantaran melalui wadah media sosial sebelum ditahan oleh pihak polis.
Mengulas lanjut, Chester berkata, UTM akan mempunyai dua komponen utama dengan tahap pertama melibatkan pendaftaran dron sama ada ia sebagai hobi, rekreasi atau perusahaan.
“Misalnya ibu bapa beli UAS dengan berat kurang 300 gram untuk anak bermain, pemohon kena daftar isi nombor kad pengenalan termasuk jika jualan dari platform e-dagang,” jelasnya.
Sementara untuk tahap kedua pula, ia untuk dron saiz besar yang perlu kelulusan penerbangan dengan proses mengambil masa cuma 24 jam berbanding ketika ini selama 14 hari bekerja.
Tawaran UTM dibuat menerusi tender terbuka dan pemenang bidaan akan diketahui awal Januari depan, manakala pelaksanaan sepenuhnya sistem itu dijangka pada suku keempat 2023.
Beliau malah optimis apabila diperkenalkan kelak, proses pemantauan dan kawal selia dron di seluruh negara dapat dikuatkuasakan lebih tegas serta telus demi keselamatan orang awam..
Usaha itu jelasnya, sejajar dengan pindaan Peraturan Penerbangaan Awam 2016 yang akan dibawa ke Parlimen dan jika segalanya berjalan lancar, ia boleh digazet pada Januari depan.
Chester memberi jaminan bahawa inisiatif menerusi UTM itu bukan hendak menyusahkan pengguna bagi membeli dron di pasaran, sebaliknya menjadikan industri tersebut lebih tersusun.
Bahkan katanya, pindaan peraturan itu juga akan menjadikan pengendali UAS bersikap lebih bertanggungjawab apabila berlaku kemalangan kerana mereka mudah dikesan dan disiasat
“Sistem baharu ini akan rekod siapa pemilik dron yang langgar undang-undang kerana apabila permohonan diluluskan, setiap UAS itu ada kod QR tersendiri dan boleh dijejak,” jelasnya.