Keluarga mahu polis siasat semula kematian lelaki - Utusan Malaysia

Keluarga mahu polis siasat semula kematian lelaki

ZUELKEFLE Draman (dua dari kiri) bersama peguam menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Malim Nawar semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Keluarga kepada lelaki yang meninggal dunia selepas dikatakan terlibat nahas jalan raya Mei lalu, menuntut siasatan lanjut dijalankan berhubung kematian lelaki itu.

Abang mangsa, Zuelkefle Draman, 66, berkata, gesaan itu dibuat selepas laporan bedah siasat ke atas mayat Shaiful Azri, 42, mendapati ada unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

Katanya, laporan polis dibuat bagi tujuan siasatan semula di Balai Polis Malim Nawar semalam.

“Shaiful Azri ditahan polis selepas terlibat kemalangan sekitar pukul 6.30 petang, 26 Mei lalu namun dia disahkan meninggal dunia di Hospital Kampar empat jam kemudian.

“Berdasarkan laporan bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semua kesan kecederaan pada tubuh arwah bukan disebabkan kemalangan sebaliknya disyaki akibat jenayah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, Shaiful Azri yang juga penjawat awam dan menetap di Seremban, Negeri Sembilan berada di Malim Nawar bagi menguruskan keluarganya yang dikuarantin akibat jangkitan Covid-19.

Katanya, mereka sekeluarga mengesyaki terdapat punca lain yang menyebabkan kematian lelaki itu tambahan pula setelah melihat kesan kecederaan dan lebam pada tubuh mangsa.

“Laporan polis yang dibuat ini setelah kami mendapatkan nasihat dan pandangan peguam. Kami mahu menuntut keadilan atas kematian arwah.

“Siasatan terperinci perlu dijalankan bagi membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Pada masa sama, kami juga mahu membersihkan nama arwah yang terpalit pelbagai tohmahan kononnya terlibat dalam kegiatan tidak sihat,” katanya.

Sementara itu peguam, Sukhdave Singh berkata, berdasarkan laporan bedah siasat, terdapat 40 kecederaan berlainan ditemukan di seluruh badan mangsa.

Malah katanya, punca kematian mangsa juga disebabkan kecederaan tumpul di kepala.

“Kami mendapati kecederaan itu tidak konsisten dengan kecederaan jatuh sendiri atau kemalangan jalan raya,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN