Keldai akaun ditawar sewa RM1,000 seminggu

Keldai akaun ditawar sewa RM1,000 seminggu

TANGKAP layar iklan mencari keldai akaun yang disiarkan menerusi laman sosial dan Fecebook.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tawaran lumayan sehingga RM1,000 seminggu atau sehingga RM5,000 sebulan menjadi punca utama pemilik keldai akaun sanggup menyewakan akaun mereka kepada scammer untuk dijadikan tempat parking wang hasil penipuan yang dilakukan secara dalam talian.

Tawaran itu pula bukan dibuat sembunyi-sembunyi sebaliknya diiklankan secara terbuka oleh scammer menerusi media sosial terutama Facebook.

Ini tambah mengujakan ramai warganet sehingga ada yang sanggup menawarkan akaun bank masing-masing.

Bagaimanapun, tindakan mereka yang ingin mendapatkan wang secara mudah ini akhirnya memakan diri apabila mereka ditipu semula oleh scammer dan tidak menerima wang seperti dijanjikan malah, turut berdepan tindakan undang-undang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Izzat Johari berkata, sejak dua tahun lalu, pihaknya telah menerima aduan daripada lebih 2,000 individu yang menjadi keldai akaun di seluruh negara.

Katanya, keldai akaun itu terdiri daripada pelbagai kategori iaitu ada yang secara sukarela menyewakan kepada scammer, ada yang dipercaya menerusi iklan pekerjaan, diugut oleh syarikat pinjaman berlesen dan terjerat dengan panggilan lucah.

“Kita menerima aduan daripada lebih 2,000 individu yang dikelaskan sebagai keldai akaun kepada scammer, ada dalam kalangan mereka ini secara sukarela menyewakan kepada pihak ketiga dan ada juga yang terdesak dan terpedaya.

“Untuk yang sukarela mereka mengaku dijanjikan RM200 hingga RM1,000 seminggu dan mereka datang membuat aduan kepada kami selepas tidak dapat bayaran dan lebih teruk menjadi buruan polis selepas mangsa membuat aduan.

“Untuk yang terdesak dan terpedaya, ada beberapa kategori seperti gagal lunaskan hutang, diperangkap menerusi panggilan video lucah selain ditipu dengan iklan pekerjaan dengan syarat perlu membuka akaun bank dan kad dipegang majikan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut kata Izzat, kebanyakan keldai akaun datang membuat aduan selepas mereka tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan selain turut menjadi buruan polis selepas butiran dikenal pasti dan berkomplot dengan scammer.

“Ada di antara keldai akaun in hanya menerima bayaran dua hingga tiga kali sahaja dan selepas itu senyap. Mereka juga tidak boleh melihat sebarang transaksi akaun bank yang terlibat kerana segala akses disekat oleh scammer.

“Apabila terdesak mereka cari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bantu, mereka semua sebenarnya takut untuk buat aduan kepada polis kerana bimbang akan ditahan dan dituduh bersubahat dengan segala penipuan dibuat scammer,” katanya

Selain itu kata Izzat, lebih menyedihkan ialah sebahagian besar keldai akaun yang datang membuat aduan kepada pihaknya adalah orang Melayu termasuk golongan ibu tunggal dan juga peniaga kecil tersepit akibat segala sekatan ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Izzat tidak menolak kemungkinan bank tempatan turut bersubahat dengan scammer kerana mereka seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan tidak mahu menjejaki kehilangan duit yang dilakukan oleh scammer.

“Selain kes melibatkan scammer yang guna keldai akaun, ada juga modus operandi yang melibatkan mangsa yang ditipu berpuluh ribu malah ratusan ribu ringgit baru-baru ini apabila wang mereka hilang dalam akaun bank tempatan.

“Kesemua transaksi ini dilakukan dengan licik sehinggakan pihak berkuasa sendiri sukar mendapatkan kerjasama dari pihak bank. Kita tahu apabila sesuatu amaun duit dipindahkan daripada akaun bank mangsa ke akaun bank scammer dan juga kita boleh tahu sama ada penerima akaun tersebut adalah mangsa keldai akaun ataupun memang scammer.

“Jadi, apabila kita dapati perkara ini berlaku, kita cuba minta kerjasama pihak polis dan juga pihak bank tempatan malangnya, kita tidak dapat secara terus kerana keterbatasan kuasa apabila pihak bank sendiri tidak mahu menayang ataupun menunjukkan bukti-bukti pengeluaran duit oleh scammer-scammer,” katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia mendapati, lambakan iklan di media sosial itu menawarkan ganjaran antara RM3,000 hingga RM6,800 kepada sesiapa yang ingin menyewakan kad bank mereka.

Selain kad bank, tawaran sama turut dibuka kepada mana-mana pemilik akaun Touch ‘n Go eWallet.

Walaupun iklan itu jelas menyatakan sewaan akaun tersebut adalah bagi tujuan perjudian kasino, namun warganet seolah-olah tidak bimbang risiko jenayah yang bakal dihadapi mereka.

Dalam iklan itu, ejen turut menetapkan syarat yang akaun bank disewa mestilah aktif di samping memiliki perbankan dalam talian.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan lebih 500,000 akaun bank disyaki akaun keldai disekat Bank Negara Malaysia (BNM) selepas dipercayai membuat transaksi meragukan termasuk untuk kegunaan scammer dalam tempoh lima tahun ini.

Dikatakan setiap ejen keldai akaun mempunyai senarai lebih daripada 2,000 nombor akaun yang disewa dengan harga RM3,000 hingga RM5,000 setiap satu kepada scammer.

Menurut sumber, setiap ejen itu mencari akaun bank untuk disewa di media sosial terutama akaun syarikat perniagaan yang sah bagi diberikan kepada sindiket untuk menjalankan pelbagai jenayah termasuk perjudian dan penipuan dalam talian, Love Scam, penipuan e-dagang dan sebagainya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN