Kebenaran solat Jumaat 230 surau di Melaka tamat

Kebenaran solat Jumaat 230 surau di Melaka tamat

ABDUL HALIM Tawil bercakap kepada pemberita dalam program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ di Jasin, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kebenaran melaksanakan solat Jumaat di 230 buah surau di negeri ini sejak lebih dua tahun lalu susulan penularan pandemik Covid-19 ditamatkan berkuatkuasa 19 Ogos ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 3 Ogos lalu yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Jelas beliau, keputusan MMKN itu selaras dengan syor Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 27 Jun 2022 untuk menamatkan kebenaran sementara tersebut.

“Ini bermakna 12 Ogos adalah Jumaat terakhir bagi semua surau berkenaan dan selepas tarikh tersebut semua anak kariah hendaklah menunaikan Solat Jumaat di masjid kariah.

“Antara justifikasi penamatan ini adalah ruang masjid masih boleh menampung kapasiti jemaah pada satu-satu masa, mengimarah serta meninggikan syiar Islam di masjid dan mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui penglibatan aktiviti masjid.

“Daripada jumlah itu, terdapat dua surau sementara di kariah Masjid Serkam Darat dan Masjid Kampung Gelam, Tangga Batu yang dibenarkan untuk terus mendirikan solat Jumaat kerana masjid berkenaan dalam proses pengubahsuaian dan pembinaan semula,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kumpulan Hadi Minallah di Melaka, Abdul Halim memaklumkan, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan atau pengakuan pihak yang terlibat dengan gerakan tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama sedang giat mengesan dan memantau sekiranya terdapat rakyat negeri ini yang terpengaruh dengan ajaran tersebut.

“Kami sedang buat penilaian jika ada elemen-elemen ini dan akan berkongsi (maklumat) dengan cawangan khas dan juga beberapa negeri kalau ada di kalangan penduduk atau belia di Melaka yang terlibat.

“Sekiranya ada elemen pengaruh, tindakan tegas akan diambil. Kami akan tunggu mesyuarat fatwa peringkat kebangsaan untuk membentangkan perkara ini yang baharu saja berlaku,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya