‘Kami pilih membujang sampai tua’

‘Kami pilih membujang sampai tua’

SEBAHAGIAN daripada lelaki yang mengambil keputusan tidak mahu berkahwin ketika memasang Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan di penambang tepi Sungai Perak tempat mereka selalu berkumpul di Teluk Intan, Perak. - FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kos perkahwinan yang mahal menyebabkan sekumpulan lelaki berketurunan Cina di sini membuat keputusan untuk terus hidup membujang.

Mereka yang ditemui berkata, terdapat seramai kira-kira 50 lelaki bujang seperti mereka yang nekad tidak mahu berkahwin.

Paling tua berusia 79 tahun namun ada juga yang semuda 40-an tetapi sudah bercadang enggan mendirikan rumah tangga disebabkan kos berkahwin yang membebankan.

Mereka sering menghabiskan masa bersama-sama dengan menjadikan sebuah penambang di tepi Sungai Perak di sini sebagai tempat berkumpul.

Malah kerana jumlah mereka yang belum berkahwin agak ramai, mereka menggelarkan kumpulan itu sebagai ‘persatuan bujang tua’.

Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Liong, 63, berkata, mereka bukan tidak mahu berkahwin namun, kos perkahwinan iaitu belanja hantaran yang tinggi menyebabkan mereka tidak mampu untuk melangsungkan perkahwinan.

Katanya, kira-kira 10 tahun lalu kos untuk perkahwinan atau duit hantaran mencecah RM50,000.

“Itu hantaran 10 tahun lalu, sekarang kalau nak kahwin kalau tak ada RM300,000 siapa yang mahu. Apatah lagi saya hanya kerja biasa, macam mana nak simpan duit sebanyak itu untuk berkahwin.

“Sebab itu lebih baik saya membujang sampai tua. Nak buat apa pun boleh, nak berkumpul, berbual dengan rakan-rakan sampai ke pagi pun tiada siapa yang halang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi lelaki, Lee Tiong Lai, 79, pula mengakui pernah bercadang untuk berkahwin namun terpaksa dilupakan kerana kos perkahwinan yang terlalu tinggi.

Katanya, dia pernah mempunyai seorang teman wanita namun keluarga wanita itu meminta sehingga RM250,000 sebagai hantaran perkahwinan.

“Saya hanya tanam sayur, macam mana nak cari duit sebanyak itu,” katanya.

Tiong Lai mengakui kadangkala rasa hampa dan kecewa menyelubungi perasaanya apabila melihat kawan-kawan sebayanya yang sudah berkahwin mempunyai keluarga.

Begitupun, jelasnya dia terpaksa melupakan perasaan itu dan mengakui tidak pernah kesal dengan kegagalannya untuk berkahwin dengan wanita yang disayanginya.

“Tak kahwin, tiada masalah, lagipun bukan senang nak jaga anak orang kalau tidak ada duit. Sekarang kalau tak ada duit RM250,000 memang tak boleh kahwin.

“Macam mana nak bayar sewa dewan perkahwinan, bayaran katering, belikan kereta dan rumah untuk isteri, lebih elok saya membujang,” katanya.

Sementara itu, beberapa rakan mereka meluangkan masa menghias penambang bot di tepi Sungai tempat mereka selalu berkumpul dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan tidak lama lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×