Jual ijazah PhD palsu RM120,000

Jual ijazah PhD palsu RM120,000

DR. NORZAINI AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keghairahan mengejar pangkat tertinggi akademik membuka ruang pihak tidak bertanggungjawab menjual ijazah palsu kepada mereka yang terdesak memakai gelaran doktor falsafah (PhD) dan profesor.

Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (PenDaPaT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman berkata, sindiket penjualan gelaran ‘doktor’ itu diakui wujud dengan mengeluarkan ijazah palsu atas nama universiti terkemuka dunia se­perti Universiti Harvard dengan harga RM120,000.

Malah beliau mendakwa, terdapat juga sindiket yang menulis kajian PhD untuk pelajar seperti jurnal predatory selain menjual anugerah kesarjanaan misalnya anugerah pemimpin cemerlang, penyelidik cemerlang dan lain-lain penganugerahan tertinggi universiti.

“Jumlah mereka yang telah menggunakan gelaran doktor PhD ini tidak dapat dikenal pasti berapa ramai tetapi jelas bahawa di era dekad 21 ini lebih mudah memalsukan sijil dan anugerah dan lebih senang kita membeli sijil serta kelayakan akademik.

“Ada yang menjual ijazah PhD dari universiti ternama di dunia dengan harga mencecah ratusan ribu,” katanya di sini semalam.

Menurut Norzaini, pada masa ini, masyarakat amat suka disajikan dengan mereka yang mempunyai pelbagai pangkat dan gelaran, mereka yang populis dan narcassist kadangkala cuba menipu atau bercakap separuh benar supaya merekalebih dipandang tinggi dan lebih popular.

Malangnya kata beliau, fenomena itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku, malah ia adalah satu bentuk bencana yang bakal memusnahkan masa depan, sistem pendidikan, profesion dan ahli profesional, makna pendidikan, ketekunan, merit dan persaingan yang adil.

Beliau berkata, mereka yang menipu gelaran itu biasanya terlalu bijak bercakap tetapi isi kosong dan selalunya mereka hanya memetik apa yang mereka dengar dan baca.

Bagaimanapun katanya, mereka yang selalu bercampur dengan para intelek atau bekerja dalam ekosistem berkaitan ilmu mudah untuk mencurigai kumpulan yang menjaja gelaran doktor atau profesor ini.

Beberapa soalan asas boleh memperlihatkan kepalsuan tahap doktor atau profesor mereka itu, namun, di zaman teknologi dan media sosial ketika ini di mana komunikasi mungkin bersifat sehala memang sukar untuk mengesan ketulenan gela­ran yang mereka gunakan.

Apatah lagi katanya, sikap orang ramai yang mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang.

Justeru katanya, cara terbaik untuk menyemak gelaran doktor atau profesor adalah dengan menghubungi universiti terbabit (sekiranya universiti itu wujud) untuk mendapatkan kesahihan sama ada mereka pernah berdaftar sebagai pelajar atau profesor di universiti tersebut sehingga berjaya graduasi.

“Apabila seseorang mempunyai pendidikan tertinggi iaitu PhD yang membawa gelaran doktor,  dia seharusnya mempunyai fikiran kritis dan hormat kepada ilmu, nilai moral tinggi, menyatakan idea dalam bahasa yang baik dan berkelakuan seperti manusia berilmu iaitu beradab.

“Jika sebaliknya, kita patut mencurigai kesahihan gelaran dan pangkat mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Norzaini berkata, di sesetengah negara seperti Eropah dan negara maju lain, gelaran kelayakan akademik seperti PhD dan profesor adalah gelaran yang dilindungi dan jika didapati menyalahgunakannya, ia adalah suatu kesalahan jenayah.

Di Austria, contohnya, ia adalah sebahagian daripada undang-undang Persekutuan.

Bagaimanapun di Malaysia pula katanya, ia tidak pasti sama ada cadangan untuk menggunakan Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan telah diguna pakai atau tidak untuk menghukum sesiapa yang menggunakan sijil atau gelaran palsu di negara ini.

Namun apa yang jelas katanya, ia adalah suatu amalan yang tidak beretika dan sepatutnya ‘ditangkap’ (oleh profesion, media massa dan masyarakat) kerana menipu atau mengaku mempunyai sesuatu dengan niat menipu.

“Bagi gelaran profesor yakni gelaran atau pangkat tertinggi yang diberikan kepada seorang ahli akademik yang berwibawa, Majlis Profesor Negara (MPN) ada menerbitkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia.

“Garis panduan ini bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama kerana dikatakan sudah ramai menyalahgunakan ijazah PhD sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×