KUBANG PASU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta tidak melupakan sokongan Perikatan Nasional (PN) sehingga membolehkan beliau bergelar Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ismail Sabri dikhuatiri akan kembali kepada perangai lama UMNO sedangkan sokongan PN kepada beliau ketika ini bersandarkan kepada keyakinan bahawa Ahli Parlimen Bera itu boleh mempertahankan integriti.
“Kita faham Ismail Sabri mungkin risau tak dapat watikah pencalonan daripada Presiden UMNO, tetapi janganlah sampai lupa sokongan PN kepada beliau ,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program ‘Sihat Bersama Wan Saiful’ di Tasik Darul Aman, Jitra di sini, hari ini.
Wan Saiful berkata demikian mengulas mengenai pertemuan antara Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Ismail Sabri yang dibatalkan di saat-saat terakhir, semalam.
Menurut Wan Saiful, pertemuan tersebut pada awalnya dipersetujui Perdana Menteri untuk diadakan pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Pertemuan
Bagaimanapun, kata Wan Saiful, dua jam sebelum pertemuan itu berlangsung, Ismail Sabri membatalkan.
“Sebelum ini Ismail Sabri boleh memenuhi janji dan menghormati pembangkang di sebelah Pakatan Harapan. PN adalah blok terbesar dalam Parlimen yang sokong beliau sekali gus membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut kecewa dengan kenyataan terbuka Ismail Sabri dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor minggu lalu mengenai pelantikan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Dalam konvensyen itu, Perdana Menteri secara terbuka nyatakan pelantikan itu dibuat untuk berikan minyak kepada jentera UMNO dan BN. Ini timbulkan persoalan mengenai integriti, kredibiliti dan amanahnya beliau sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan itu sesuatu yang mengejutkan dan menimbulkan persoalan sama ada beliau masih ada komitmen kepada reformasi institusi dan memastikan usaha memerangi rasuah dapat diteruskan.
“Ditambah dengan ucapan Ahmad Zahid dalam konvensyen sama yang menyatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membawa gula kepada jentera sama, kita bimbang jika zaman kleptokrasi, rasuah, kronisme dan nepotisme dipelopori UMNO serta BN akan kembali,” katanya.- UTUSAN