Isa buat saya lebih bangga sebagai bapa - Akim - Utusan Malaysia

Isa buat saya lebih bangga sebagai bapa – Akim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Akim Ahmad, 31, mengaku sudah begitu lama menyimpan hasrat untuk meletakkan nama nabi sebagai pilihan utama jika Allah SWT mengurniakannya dan isteri, Stacy Anam, cahaya mata lelaki.

Menurut Akim, dia tidak menyangka, selepas lima tahun, hasrat itu tercapai menerusi kehadiran Isa, putera sulung yang baru sahaja dilahirkan Stacy pada 6 Ogos lalu.

“Saya memang teringin nak letak nama nabi pada anak lelaki. Ada beberapa nama yang telah disenarai pendek, tetapi akhirnya saya dan Stacy pilih Isa sebab dekat dengan nama anak kedua kami, Eishal.

“Sebutannya hampir sama. Malah, Isa kalau digabungkan dengan Bella (nama anak sulung) akan menjadi Isabella.

“Nama itu dirasakan sesuai untuk anakanda kami ini dengan harapan, mudah-mudahan hubungan mereka adik-beradik akan sentiasa akrab dan saling sayang-menyayang,” katanya.

Akim berkata demikian semasa ditemui pada sidang media konsert Nyawa- Akim & The Majistret dan Azlan & The Typewritter di ibu kota, semalam.

Selain itu, kata Akim, dia juga sangat gembira dengan kelahiran Isa kerana begitu menginginkan seorang anak lelaki dalam keluarga kecilnya.

“Saya anggap ini rezeki buat kami sekeluarga. Bila dapat anak lelaki ini, bolehlah nanti ajak main bola sama-sama. Saya sebelum ini pernah cakap pada Stacy, teringin nak azankan anak.

“Bila anak perempuan lahir, kita akan iqamahkan, tetapi jika lelaki, kena azankan. Itu yang sering saya mahukan.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan kami dengan kehadiran Isa setelah menunggu lama. Sedikit pun saya tak menangis sewaktu Isa berada dalam dakapan buat pertama kalinya.

“Perasaan yang berbeza semasa Eishal dilahirkan. Isa buat saya lebih bangga kerana akhirnya ada anak lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Akim mengenai konsert yang menggabungkan Akim & The Majistret dan Azlan & The Typewriter, dia teruja untuk bertemu peminat setelah sekian lama tidak beraksi bersama band di depan khalayak.

Malah, kata Akim, konsert gabungan dua band ini merupakan antara yang unik di matanya kerana belum pernah dilakukan mereka sebelum ini.

“Konsert ini akan menggabungkan dua vokal berbeza iaitu saya dan Azlan. Saya ambil peluang dan tawaran ini untuk sama-sama melakar sejarah bersama Azlan & The Typewritter,” katanya.

Konsert Nyawa akan diadakan pada 16 September ini bertempat di Zepp Kuala Lumpur dan dibawakan oleh Khatulistiwa Productions.

Tiket telah mula dijual pada harga RM150, RM180, RM230 dan RM280 menerusi laman sesawang http://ticket2u.com.my/nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya