Insiden diherdik tidak lemahkan semangat kakitangan Jabatan Imigresen - Utusan Malaysia

Insiden diherdik tidak lemahkan semangat kakitangan Jabatan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Insiden melibatkan pegawai kanan Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini tidak akan melemahkan semangat semua pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

Presiden Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (Ppimm), Supiani Sibin berkata, malah barisan Jabatan Imigresen akan sentiasa marak melaksanakan tugas kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama.

Kata beliau, pihaknya sentiasa menyokong pengurusan jabatan di bawah pimpinan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

“Meskipun pelbagai dugaan dan cabaran dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara, Ppimm percaya semua amanah ini dipikul selaras dengan 12 prinsip dalam Tonggak 12.

“Ia adalah menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat dan nikmat mencipta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ppimm menghargai semua pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen yang sentiasa menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Katanya, setiap individu dalam perkhidmatan awam bertanggungjawab memahami dan mengamalkan nilai dan etika kerja dalam semua tindakan dan tingkah laku semasa menjalankan tugas.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyatakan kekecewaan dengan tingkah laku seorang penjawat awam berpangkat Ketua Pengarah yang menengking dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen yang sedang bertugas di KLIA.

Insiden bermula apabila tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP KLIA dan KPPA mahukan layanan orang kenamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN