KANGAR: Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) digesa mempergiatkan intipan bagi memantau masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur yang bertindak menyewa penginapan inap desa bagi melakukan kegiatan tidak bermoral.
Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) berkata, terdapat segelintir pengusaha inap desa dikesan cuba mengambil kesempatan dengan membenarkan remaja bawah umur menyewa penginapan mengikut jam bagi meraih pendapatan dengan cara mudah.
Ismail berkata, tindakan tersebut dikhuatiri menyebabkan masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur di negeri ini semakin berleluasa dan akan mengundang masalah pada masa hadapan.
“Dengan wujudnya aplikasi-aplikasi sosial pada masa kini pastinya ia dibimbangi akan membuka ruang kepada golongan remaja untuk terjebak dengan kegiatan tidak bermoral.
“Justeru, saya menggesa JAIPs memperhebatkan risikan dan pemantauan di beberapa lokasi inap desa di negeri ini bagi menggelakkan terjadinya perkara tersebut,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail turut menggesa kerajaan negeri menggubal satu peraturan khas bagi menghalang mana-mana pengusaha inap desa membenarkan remaja bawah umur menyewa penginapan mengikut jam.
Tambahnya, situasi ini memerlukan tindakan segera memandangkan ia akan mendedahkan golongan remaja kepada masalah sosial sekiranya tidak diatasi dengan sebaiknya.
“Semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengelakkan masa depan anak muda di negeri ini terdedah dengan anasir tidak sihat,” katanya. – UTUSAN










