Pulau Pinang diduduki secara haram sejak 1786 - Sanusi

Pulau Pinang diduduki secara haram sejak 1786 – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan isu berkaitan pajakan Pulau Pinang perlu diperjelas secara telus kepada semua pihak berkaitan.

Beliau berkata, negeri itu termasuk Seberang Perai adalah wilayah hak milik Kesultanan Kedah sejak zaman silam yang diduduki secara haram melalui penipuan oleh penjajah bermula 9 Ogos 1786.

“Pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di tanah milik Sultan Kedah. Ini satu jenayah. Pada 12 April 1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah melancarkan usaha untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang namun tewas.

“Pada 7 Julai 1800, Sultan Kedah, Sultan Dhiauddin terpaksa menandatangani perjanjian menyerahkan sebahagian Seberang Perai kepada British, lalu Seberang Perai diberi nama baharu, Province Wellesley,” katanya berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam Kedah, hari ini.  

Beliau berkata, penyerahan Seberang Perai hanya seluas 60 relung, namun ditambah dan kini ia berkeluasan 751 kilometer persegi atau bersamaan 75,100 hektar.

“Di peringkat awal, nilai pajakan Pulau Pinang dipersetujui oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah adalah 6,000 Spanish Dollar, namun tidak dibayar Francis Light. Itu yang menyebabkan perang pada 1791.

“Apabila dapat Seberang Perai, nilai pajakan ditambah 4,000 Spanish Dollar menjadikan jumlah 10,000 Spanish Dollar. Selepas merdeka, pajakan diubah menjadi RM10,000. Bermula 2018, ditambah RM10 juta menjadikan pajakan hari ini sebanyak RM10,010,000,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri yakin proses perundangan berhubung tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dapat dimulakan pada tahun ini selepas selesai kerja analisa dokumen.

Katanya, pasukan perundangan kini sedang melihat daripada sudut undang-undang yang sesuai sebelum kes dibawa ke mahkamah dan usaha itu mengambil masa kerana banyak dokumen perlu diteliti serta semua proses perlu dibuat secara teratur dan lengkap.

“Sebelum habis tahun ini saya jangka (bawa kes ke mahkamah). Pasukan kita sedang bekerja, proses untuk perundangan ada banyak teknikal, pasukan kita sudah bersedia cuma sudut yang nak diambil itu sedang dipertimbang.

“Kita buat secara perlahan, saya bukan nak cari gaduh tapi nk buat benda teratur sebab itu kita ambil masa bertahun. Untuk buat kajian, kumpul dokumen yang dihimpunkan untuk dianalisa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN