fbpx

Hakim tidak sihat, saman fitnah Sultanah Zahirah tangguh 12 Ogos ini

CLARE REWCASTLE BROWN

KUALA LUMPUR: Permohonan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan diputuskan 12 Ogos ini.

Ia berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang sepatutnya membuat keputusan itu hari ini tidak sihat.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas ketika ditemui media hari ini.

Pada 23 September 2021, wanita terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Nur Zahirah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Hadir pada prosiding hari ini, peguam Guok Ngek Seong mewakili Clare selaku pemohon manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.

Pada Mac lalu, media melaporkan Clare memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini memohon pertuduhan tersebut dibatalkan atas alasan dakwaan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Clare dalam permohonannya mempersoalkan Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan adalah mengikut Perlembagaan dan boleh dikuatkuasakan dalam prosiding jenayah.

Pada 21 November 2018, Sultanah Nur Zahirah telah memfailkan saman fitnah terhadap Clare, penerbit buku tersebut, Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. selaku defendan pertama hingga ketiga.

Baginda menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!