PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung kes penipuan 380 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan membabitkan kelima-lima suspek yang ditahan sebelum ini telah selesai.
“Esok kita akan rujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur untuk mendapatkan keputusan atas cadangan kita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 19 Julai lalu, sebanyak 121 laporan diterima PDRM berkaitan penipuan pakej haji oleh tiga agensi pelancongan yang mengakibatkan kerugian hampir RM5.17 juta di seluruh negara.
Daripada jumlah itu sebanyak 22 kertas siasatan dibuka.
Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi dengan 48 laporan diikuti Selangor (30 laporan), Pahang (18 laporan) dan masing-masing enam laporan di Johor, Perak, Kelantan.
Di Kedah, sebanyak tiga laporan diterima manakala dua di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.
Jumlah kerugian paling tinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu RM2.07 juta diikuti Pahang (RM1.2 juta) dan Selangor (RM956,300).
Di Kelantan pula mencatatkan kerugian RM280,000 diikuti Perak (RM203,000); Negeri Sembilan (RM170,500); Johor (RM125,000); Kedah (RM48,000); Terengganu (RM38,000) dan Pulau Pinang (RM32,000).
Susulan itu, individu berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan Polis Kontinjen Selangor bagi siasatan kes penipuan berkenaan diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan dan isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit.
Sementara itu, seorang mangsa, Mohd. Hanif Mohd. Salleh, 57, berkata, cubaan mereka mencari ejen yang terbabit menemui jalan buntu kerana dua individu lelaki dan perempuan itu gagal dihubungi hingga kini.
Malah katanya, usaha menjejaki kedua-duanya hingga ke rumah turut sia-sia kerana kediaman mereka yang kosong.
“Berdasarkan butiran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beberapa jemaah pergi ke rumah mereka di Kajang dan Gombak, tetapi tiada penghuni.
“Semasa di sana, ada jiran memaklumkan turut menjadi mangsa penipuan ejen-ejen yang masih bebas itu,” katanya.
Kelmarin, peguam, Muhammad Nazrin Mohd. Seth menggesa pihak berkuasa segera mencari kira-kira tiga lagi individu iaitu pekerja di agensi pelancongan itu yang belum ditahan dan diambil kenyataan.
Sementara itu, Mohd. Haniff mendakwa, salah seorang ejen wanita itu yang masih bebas, sebelum ini pernah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di Negeri Sembilan atas 17 pertuduhan menipu pakej umrah dan menyalah guna wang bayaran bernilai RM393,000 pada 2019. – UTUSAN










