Haji Furada: Mangsa harap keadilan

Haji Furada: Mangsa harap keadilan

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Julai lalu, berharap keadilan berpihak kepada mereka selepas ditipu sebuah agensi pelancongan.

Wakil kumpulan jemaah itu, Mohd. Hanif Mohd. Salleh, 57 berkata, mereka sedang menunggu siasatan dan perbicaraan dilakukan.

Katanya, kumpulan jemaah sentiasa berharap keadilan dapat diberikan kepada mereka yang terkesan dengan penipuan tersebut.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan kepada kami siasatan hampir selesai dan akan diserahkan kepada Pendakwa Raya.

“Harapan kami adalah untuk mendapatkan keadilan kerana ada daripada pihak yang menipu itu masih tidak ditangkap dan supaya kami dibayar ganti rugi oleh agensi pelancongan terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

MOHD. HANIF MOHD. SALLEH

Terdahulu, akhbar melaporkan, hasrat kira-kira 380 jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci tidak kesampaian apabila mereka terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap seperti visa dan pasport.

Susulan itu, dua lelaki dan tiga wanita termasuk pemilik agensi pelancongan berkenaan di samping isterinya serta ejen ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara pada 8 Julai lalu untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, sebahagian jemaah terpaksa menanggung malu akibat daripada penipuan yang dilakukan agensi pelancongan tersebut dan enggan pulang ke rumah buat sementara waktu kerana tidak mahu menghadapi keluarga serta jiran yang tahu akan pemergian mereka ke Arab Saudi.

Mohd. Hanif berkata, jemaah-jemaah tersebut sudah kembali pulang ke rumah masing-masing.

“Mereka semua sudah pulang ke rumah, hanya seminggu dua sahaja mereka tak boleh nak pulang kerana trauma selepas ditipu oleh agensi pelancongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN