Guru Orang Asli bantu transformasi pendidikan - Utusan Malaysia

Guru Orang Asli bantu transformasi pendidikan

Radzi Jidin melawat gerai pameran sempena Program Sekolahku Sejahtera: Didik Inklusif Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di Pusat Komersial Orang Asli Sungai Siput, Perak, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pengambilan khas pelajar dalam kalangan Orang Asli sebagai bakal guru di sekolah-sekolah kaum pribumi itu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang merupakan antara usaha kerajaan memastikan transformasi pendidikan dalam kalangan kaum pribumi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ketua Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan, Dr. Aminuddin Mohamed berkata, IPG itu merupakan satu-satunya institusi pendidikan yang membuat pengambilan khas pelatih dalam kalangan pelajar Orang Asli sebagai pendidik.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di IPG itu berkata, pengambilan khas tersebut bermula pada tahun 2010 lagi.

Menurutnya, sehingga hari ini pengambilan melibatkan 208 pelatih dalam kalangan pelajar Orang Asli yang telah dan akan ditempatkan di seluruh negara iaitu di 98 buah sekolah Orang Asli.

Aminuddin Mohamed

“Mereka ini merupakan pengambilan guru khas untuk masyarakat Orang Asli sebagai usaha kerajaan untuk memantapkan lagi transformasi pendidikan untuk kaum Orang Asli,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Sekolahku Sejahtera: Didik Inklusif Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di Pusat Komersial Orang Asli Sungai Siput di sini kelmarin yang dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Aminuddin, yang juga Ketua Program Jelajah Mesra Orang Asli berkata, pada program itu beliau melihat ada kecenderungan dalam kalangan ibu bapa Orang Asli untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memajukan pendidikan anak-anak mereka.

Katanya, ini merupakan perkara yang positif apabila usaha melonjakkan transformasi pendidikan untuk kaum itu mendapat kerjasama daripada ibu bapa dan pemimpin mereka terutama tok batin.

“Kalau ibu bapa tidak turut sama menjayakan transformasi ini, kita tak mampu melaksanakannya, maksudnya sokongan bukan hanya daripada satu pihak tetapi kita hendak ibu bapa dan pemimpin tempatan mereka iaitu tok batin juga mainkan peranan.

“Bagi Orang Asli, tok batin sangat dihormati dan kita gembira apabila hari ini tok batin terima cadangan kita, apa yang perlu ialah kita dapat tangkap hati mereka, apabila dapat tangkap hati mereka maka mudah untuk kita melaksanakan transformasi pendidikan untuk pelajar kaum pribumi ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar Orang Asli yang terpilih mengikuti pengambilan khas sebagai guru di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan berkata, kejayaan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi adalah hasil bantuan berterusan daripada kerajaan sejak mereka di sekolah rendah lagi.

Shahrulhakimi Josaemi, 18, yang mengikut Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda di IPG itu berkata, dia dari keluarga golongan B40 amat menghargai bantuan persekolahan yang diberikan oleh kerajaan dari peringkat sekolah hingga dia berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana.

Katanya, bantuan itu dapat meringankan beban kewangan bapanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memajukan pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli.

“Pelajaran seharusnya menjadi senjata baharu untuk masyarakat Orang Asli maju, kita tak perlu menggunakan cara lama untuk maju, boleh cari idea baharu untuk ke hadapan.

“Usaha kerajaan ini sangat membantu dan dapat meniup semangat dan memikirkan idea baharu kepada kami pelajar Orang Asli untuk memajukan diri dan kaum,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurmauli Shamsudin, 20, berkata, bantuan kerajaan untuk pelajar Orang Asli dapat mengatasi masalah keciciran disebabkan masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Katanya, ini dibuktikan apabila dia menerima pelbagai bantuan sejak dari sekolah rendah lagi hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi hari ini.

“Jika hendak menjadi pelajar yang berjaya, kena berusaha untuk dapatkan sumber kewangan.

“Ramai pelajar Orang Asli tidak melanjut pelajaran sebab masalah kewangan, jadi kena berani dan buka mulut supaya ramai orang bantu,” katanya.

Mengenai program Program Sekolahku Sejahtera: Didik Inklusif Memperkasa Pendidikan Orang Asli dan Pribumi di sini, Nurmauli berkata, program itu meningkatkan keberanian murid untuk tampil dan meningkatkan motivasi diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya