Gunung Inas: Lulus getah, tanam durian

Gunung Inas: Lulus getah, tanam durian

WAN ABDUL LATIFF WAN JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Se­kitar (JAS) mendedahkan, Laporan Penilaian Impak Terhadap Alam Sekeliling (EIA) yang diluluskan bagi projek pembangunan di Gunung Inas di Baling, Kedah adalah untuk projek perladangan hutan.

Projek berdekatan dengan ka­­wasan terlibat bencana itu mempunyai kelulusan Laporan EIA pada 25 Julai 2013 iaitu Projek Pembangunan Hutan Ladang Di Hutan Simpan Gunung Inas Mukim Bakai, Kupang dan Pulai, Daerah Baling, Kedah Darul Aman.

Bagaimanapun, projek itu didapati melanggar syarat kelulusan laporan EIA iaitu me­ngubah spesies tanaman dari Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian Musang King.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ke­tua Pengarah JAS, Wan Abdul La­tiff Wan Jaffar berkata, Kerajaan Negeri Kedah melalui Me­­syuarat Exconya te­lah meluluskan lebih kurang 20 peratus kawa­san tersebut untuk di­tukar dari tanaman TLC kepada tanaman durian Musang King tanpa membuat permohonan awal kepada JAS.

“Sepatutnya Kerajaan Negeri kena mohon dulu kepada JAS ba­hawa ada perubahan kompo­nen tanaman untuk menukar ta­naman TLC kepada durian Mu­­sang King. Permohonan itu ha­nya diterima pada Jun lalu.

“Walaupun kita percaya (tindakan tukar tanaman) itu sudah lama berlaku bertahun-tahun. Mereka sudah tanam durian dahulu baru menghantar permohonan. Jadi cara Kerajaan Negeri itu meluluskan terlebih dahulu tanpa rujuk JAS adalah salah,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, di sini semalam.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tetap yakin bahawa projek tanaman Musang King di puncak Gunung Inas tidak menjadi punca kepada berlakunya tragedi kepala air dan banjir lumpur di sekitar Kupang, pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata, dapatan itu diperkuatkan lagi dengan laporan dikemukakan pakar-pakar daripada pelbagai agensi yang digerakkan untuk menyiasat punca kejadian yang diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Pada 7 Julai lalu, Muhammad Sanusi berkata, tiada kolam takungan air di atas Gunung Inas bagi projek tanaman Musang King pecah yang dikatakan penyebab kepada tragedi di Sungai Kupang.

Katanya, ia berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan oleh beliau sendiri bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati takungan dibina di kawasan tanaman ber­kenaan masih ada dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam itu juga masih wujud.

Insiden pada petang 4 Julai lalu mengorbankan tiga individu yang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling.

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia berhubung bencana di Baling, Kedah pada awal Julai lalu.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, pihaknya sedang menilai semula dan meneliti permohonan itu sama ada dibenarkan atau tidak kerana impak penanaman durian adalah berbeza dengan spesies ladang pokok hutan.

Kata beliau, pokok durian Musang King bukanlah dalam senarai pokok ladang hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan.

Dalam hal ini, agensi yang meluluskan projek itu adalah Jabatan Perhutanan berdasarkan kelulusan asal bagi penanaman perladangan hutan dan bukannya bentuk tanaman pertanian.

Justeru, bagi melengkapkan permohonan kerajaan negeri itu, JAS memohon Pejabat Menteri Besar Incorporated untuk mengemukakan maklumat tambahan iaitu surat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri berkaitan kelulusan pindaan tanaman dan pelan sempadan kawasan yang diluluskan.

Namun, katanya, sehingga kini JAS belum menerima maklum balas dari Pejabat Menteri Besar Incorporated.

Dalam masa sama, kata beliau, setiap projek melibatkan kerja-kerja tanah mempunyai syarat-syarat menerusi pelan yang turut diluluskan agensi lain iaitu Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang turut melihat kepada langkah-langkah mitigasi dan kawalan.

Mengenai pemeriksaan dan siasatan tragedi itu, beliau berkata, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sudah dikeluarkan pada 10 Mac 2021 kepada Penggerak Projek berdasarkan siasatan penguatkuasaan EIA JAS Kedah pada 28 Februari 2021 secara bersepadu bersama pegawai-pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Jelasnya, Notis Arahan tersebut dikeluarkan atas sebab  pelanggaran syarat kelulusan laporan EIA No. 2 iaitu mengubah spesis tanaman dari TLC kepada durian. dan penggerak projek telah mengemukakan maklum balas pada 7 April 2021, namun tidak menjawab kepada arahan notis.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah yang bersidang pada 7 April 2021 bersetuju membenarkan penggerak projek untuk meneruskan penanaman anak  pokok spesis durio (durian) di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas seluas 2,000  hektar melalui surat daripada MBI Kedah bertarikh 23 Februari 2022.

“Surat Jabatan  Perhutanan Negeri Kedah bertarikh 13 Februari 2022 berkaitan  persetujuan tersebut disalinkan kepada JAS Negeri Kedah. Permohonan pindaan syarat kelulusan tersebut adalah untuk menggantikan spesis  pokok timber latex clone (TLC) kepada spesis pokok durian,” katanya.

Menurut beliau, JAS Negeri Kedah menjalankan pemantauan berkala mengikut program Penguatkuasaan EIA yang dirancang bagi semua kawasan atau tapak projek yang mendapat kelulusan Laporan EIA, termasuklah di kawasan Gunung Inas yang didakwa menjadi punca utama kejadian bencana banjir lumpur baru-baru ini.

Katanya, pelaksanaan pemantauan yang dilaksanakan tidak terhad kepada penguatkuasaan di  lapangan tetapi juga diperluas dengan penguatkuasaan desktop bagi menilai  laporan-laporan pemantauan alam sekitar yang dikemukakan penggerak projek.

Di bawah Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang  Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, menetapkan (Aktiviti 5: Perhutanan) adalah melibatkan pengubahan hutan pada ketinggian 300 meter atau lebih di atas purata aras  laut kepada kegunaan lain tanah yang meliputi kawasan seluas 100 hektar atau  lebih.

Pembalakan atau penebangan atau pengambilan kayu dari hutan pada  ketinggian 300 meter atau lebih di atas purata aras laut yang meliputi kawasan  seluas 100 hektar atau lebih di luar kawasan hutan simpan kekal.

Di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah menetapkan  mana-mana orang yang berhasrat menjalankan apa-apa Aktiviti Yang ditetapkan  dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 hendaklah menjalankan kajian penilaian kesan  kepada alam sekeliling (EIA) dan mengemukakan kepada Ketua Pengarah Kualiti  Alam Sekeliling.

Sejak 1 Januari 2020 hingga 30 Jun lalu, JAS Negeri Kedah telah menjalankan  sebanyak 187 aktiviti penguatkuasaan EIA di seluruh Negeri Kedah, dan daripada  jumlah tersebut, sebanyak 36 aktiviti penguatkuasaan dijalankan bagi aktiviti ladang  hutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN