PETALING JAYA: Pemilihan calon yang akan diketengahkan gabungan baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditentukan selepas 120 kawasan Parlimen dimuktamadkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha GTA, Datuk Marzuki Yahya berkata, gabungan itu akan meletakkan calon mengikut kesesuaian kawasan dipertandingkan termasuk di ‘kerusi-kerusi panas’.
“Ini soal calon, bukannya kerusi. Maka, kita selesaikan soal kerusi dahulu barulah pastikan calon-calonnya bergantung kepada kawasan Parlimen tersebut.
“Buat masa ini senarai kawasan Parlimen sudah ada cuma belum dimuktamad. Tetapi, sudah tentulah hampir kebanyakan kerusi yang UMNO bertanding GTA akan berada di situ,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika GTA bertanding di ‘kerusi panas’ menyaksikan kesemua calon terpaksa berdepan pecahan undi, malah mempertimbang kekuatan calon supaya setanding dengan pihak lawan.
UMNO mempunyai beberapa kerusi panas antaranya Bagan Datuk (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi); Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak); Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Putrajaya) yang masing-masing ada kes mahkamah.
Pada 4 Ogos lalu, GTA yang dipengerusikan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad diumumkan sebagai gagasan baharu parti politik yang berhasrat bertanding 120 kerusi Parlimen dalam PRU15.
GTA sasarkan bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO di Semenanjung.
Selain Pejuang, gabungan itu dianggotai Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Berjasa (Berjasa).
Ditanya bagaimana Pejuang meletakkan keyakinan menang pilihan raya ketika parti-parti komponennya tidak mempunyai wakil rakyat di Parlimen sebelum ini, Marzuki bagaimanapun berkata, GTA tetap optimis.
“Ada baiknya (parti komponen GTA) tiada wakil rakyat sekarang daripada ada wakil rakyat yang hanya pentingkan diri dan tidak hormat mandat rakyat.
“Faktor X tidak hanya pada Pejuang, semua ada kelebihan dan kekurangan. Kekuatannya adalah sebuah bangsa yang bersungguh-sungguh menyelamatkan bangsa, agama dan negara,” katanya.
Sementara itu, Putra Perak tidak terkesan dengan tindakan Pengerusinya, Datuk Hamidah Osman mengumumkan keluar parti kelmarin.
Ahli Dewan Tertinggi Putra, Datuk Kamarul Airi Arifin berkata, tiada mana-mana pemimpin atau ahli peringkat bahagian parti itu di Perak yang mengikut jejak Hamidah keluar parti. – UTUSAN










