Gnanaraja nafi ugut Zarul Ahmad supaya beri RM19 juta - Utusan Malaysia

Gnanaraja nafi ugut Zarul Ahmad supaya beri RM19 juta

ZARUL Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan saksi membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion ketika hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan, G. Gnanaraja menafikan beliau mengugut saksi utama kes Lim Guan Eng agar menyerahkan wang RM19 juta kepadanya berhubung pendakwaan kes pengubahan wang haram.

Gnanaraja menyatakan demikian ketika disoal siasat oleh pihak polis berhubung laporan yang dibuat oleh Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, sekitar Januari 2018.

Kelmarin, Zarul Ahmad iaitu saksi utama pendakwaan memberitahu, beliau menyerahkan wang RM19 juta kepada Gnanaraja yang didakwanya seorang ‘kaki tipu’ selepas diugut oleh ahli perniagaan itu melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, Zarul Ahmad ketika ditanya oleh peguam Gobind Singh Deo berkaitan butiran siasatan terhadap Gnanaraja menyatakan, beliau tidak mengetahui ahli perniagaan itu menafikan perkara tersebut.

Jelas saksi pendakwaan ke-23 itu, beliau juga tidak dimaklumkan oleh pihak polis berkaitan hasil siasatan terhadap Gnanaraja.

Gobind: Ada pegawai penyiasat dalam kes Gnanaraja memberitahu kamu bahawa beliau (Gnanaraja) ketika disiasat menyatakan wang itu satu pinjaman?
Zarul: Saya tidak tahu.

Gobind: Bukankah kamu arah peguam kamu supaya menghantar surat tuntutan kepada Gnanaraja berkaitan wang RM19 juta itu?
Zarul: Ya.

Gobind: Dalam surat itu, kamu menyatakan bahawa wang itu diamanahkan untuk dipegang oleh Gnanaraja?
Zarul: Saya tidak ingat ayat yang saya nyatakan.

Gobind: Intipati surat itu adalah wang tersebut diamanahkan kepada Gnanaraja untuk dipegang?
Zarul: Intipatinya adalah saya mahukan wang itu semula dan tujuannya untuk diserahkan kononnya kepada Perdana Menteri.

Gobind: Tapi apa yang kamu nyatakan dalam surat tersebut?
Zarul: Itu kena tanya peguam saya, Shahrul Hamidi (Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Hamidi Mohd. Noh). Saya hanya beritahu saya mahukan wang saya balik. Bagaimana cara beliau menulis, terpulang.

Pada peringkat itu, Zarul Ahmad mengadu kepada mahkamah beliau tidak sihat dan memohon kes ditangguhkan.

Ketika ditanya Hakim Azura Alwi, beliau memaklumkan tekanan darahnya naik, jantungnya berdegup kencang dan doktor yang memeriksanya mencadangkan beliau bertemu pakar.

Perbicaraan bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya