SEREMBAN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu mencuba nasib untuk bertanding di satu kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebuah kerusi Parlimen berkenaan iaitu Rasah hasil formula agihan yang diputuskan dua parti gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Jelas beliau, menerusi formula itu, Bersatu akan bertanding di empat lagi kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dan tiga lagi ditandingi oleh Pas.
“Ya, kami berhasrat untuk bertanding satu kerusi Parlimen iaitu Rasah dan tujuh kerusi DUN iaitu Temiang, Bahau, Bukit Kepayang, Rahang, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.
“Kami akan fokus kepada kualiti kerusi dan bukannya kuantiti. Kami tahu ada banyak lagi kerusi yang kami boleh bertanding terutamanya di kawasan masyarakat Cina tetapi kami hanya fokus kawasan yang boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Ke-47 Wanita dan Pemuda Ke-35 Gerakan Negeri Sembilan di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengerusi Perhubungan Negeri Gerakan, Datuk Chong Vee Hing.
Dominic dalam pada itu menjelaskan, soal siapakah calon Gerakan yang akan diketengahkan di Negeri Sembilan masih belum diputuskan dan akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN di peringkat Pusat.
Sementara itu, Chong Vee berkata, walaupun sudah ada formula agihan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dalam kalangan parti gabungan PN namun keputusan tersebut masih belum dimuktamadkan.
“Bagaimanapun, hasrat Gerakan untuk bertanding di Rasah adalah kerana kami ada penyokong di DUN Seremban Jaya dan Bukit Kepayang.
“Berdasarkan penelitian, siasatan serta analisis mendapati Parlimen Seremban agak sukar untuk ditandingi. Jika Anthony Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Seremban) masih ada di sana, tiada peluang untuk orang lain termasuklah Barisan Nasional (BN),” katanya. – UTUSAN