JOHOR BAHRU: Petai, opak ubi kayu, biskut kelapa, air tebu dan cempedak antara produk tempatan yang akan dibawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena penganjuran Expo Malaysia Fest 2022 yang berlangsung selama empat hari di Singapura bermula Khamis ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, produk tempatan itu mendapat permintaan oleh pengguna di republik berkenaan dan pihaknya menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM7 juta.
“Sebelum ini, kita telah melakukan satu kajian pasaran, apakah produk tempatan Malaysia yang dimahukan pengguna Singapura dan hasilnya mereka mahukan produk tempatan yang popular di sesebuah negeri.
“Kita dapati pengguna di sana (Singapura) gemar membeli sesuatu produk yang mereka tahu asal usulnya atau ‘produk asli’ sebelum mereka membuat sesuatu pembelian.
“Oleh itu, antara produk tempatan yang dihantar termasuk petai Perak, keropok lekor Terengganu, kek lapis Sarawak, amplang Sabah, air tebu Negeri Sembilan, pes rendang tok Perak, mi siput Johor, opak ubi kayu Johor dan pelbagai buah-buahan eksotik serta sayur-sayuran lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Pelepasan Hantaran Produk ke Singapura sempena Expo Malaysia Fest 2022 di Pusat Operasi FAMA Negeri Johor, di sini hari ini.
Pihaknya menjangkakan sambutan rakyat republik berkenaan terhadap program tersebut yang diadakan di Tapak Ekspo Changi memberangsangkan ekoran kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
“Edisi 2022 ini merupakan penganjuran kali kelima selepas ekspo pertama diadakan pada 2016 dengan nilai jualan sebanyak RM4.5 juta dan terus mencatat peningkatan jualan sehingga RM7.3 juta pada tahun 2019.
“Kali ini, setelah pelaksanaannya ditangguhkan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, kita menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM7 juta ekoran kejayaan yang dicatat sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang mendapat sambutan luar biasa, baru-baru ini.
“Selain sasaran nilai jualan sebanyak RM7 juta, kita juga menjangka ekspo empat hari itu akan membawa potensi eksport bernilai RM15 juta,” katanya.
Beliau menjangkakan kehadiran seramai 90,000 pengunjung ke ekspo yang mempromosikan sebanyak 3,000 jenis produk hasil keluaran 200 usahawan tempatan. – UTUSAN










