PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan di kawasan rumah pangsa di Taman Bukit Sentosa, Rawang, dekat sini, selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kereta di Ampang, semalam.
Penahanan kedua-dua suspek berusia 27 tahun dan 31 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 4.20 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hasil maklumat dan risikan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dilakukan susulan satu laporan dibuat seorang pengadu pada 11 Ogos lalu mengenai kehilangan kereta jenis Proton Wira miliknya.
Kata beliau, pengadu meletakkan kenderaan miliknya yang di parkir di sebuah flat di Jalan Pandan Indah dekat sini kira-kira pukul 9 malam.
“Namun kira-kira pukul 8.30 pagi keesokkannya pengadu mendapati keretanya hilang disyaki dicuri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang meleraikan sebuah kenderaan berwarna putih dengan nombor pendaftaran depan tiada manakala no chasis diganggu.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan serangkai anak kunci digunakan untuk mencuri kenderaan tersebut.
“Kesemua barang rampasan telah dibawa ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut,”jelasnya.
Tambah Mohamad Farouk, modus operandi suspek adalah menyasarkan model kereta lama yang diparkir di kawasan sunyi untuk dicuri.
Kata beliau, semakam terhadap suspek pertama mendapat dia tiada memiliki sebarang rekod jenayah manakala suspek kedua memiliki satu rekod narkotik dan masih dikehendaki.
“Kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini. Kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan.
“Hukuman Seksyen 379A Kanun Keseksaan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh minimum satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, dan bolehlah dikenakan denda atau kedua-duanya,” jelasnya. – UTUSAN










