[DEWAN RAKYAT] Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri bantu kurang kesan banjir - Utusan Malaysia

[DEWAN RAKYAT] Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri bantu kurang kesan banjir

PROJEK empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan bukan sahaja membantu kerajaan Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar tetapi mampu mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, projek itu dijangka membabitkan tasik takungan utama berkeluasan 53.84 kilometer persegi dengan kerja pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik itu sudah dimulakan sejak 1 Mac lalu dan dijangka mula beroperasi pada 1 Jun 2027.

Beliau turut memaklumkan, projek empangan hidroelektrik Nenggiri dibiayai dan dilaksanakan sepenuhnya oleh TNB Power Generation Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Projek ini mengambil keluasan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi, yang mana mempunyai serampang banyak mata.

“Selain membekalkan bekalan elektrik, ia juga akan mengurangkan kesan fenomena banjir besar, membantu sumber perairan pertanian, mengatasi isu pembekalan air bersih, memberi peluang pekerjaan ketika pembinaan empangan dan potensi kegiatan ekonomi apabila projek ini siap,” katanya.

Takiyuddin menjawab soalan Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) mengenai pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri, sama ada akan menjejaskan kehidupan Orang Asli di sekitarnya, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pembinaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri itu bakal memberi kesan kepada flora dan fauna serta penduduk Orang Asli di tiga perkampungan.

Namun beliau menambah kerajaan dan TNB mengambil pelbagai kawalan dengan kerjasama rapat jabatan dan agensi kerajaan sebagai pencegahan kepada terjejasnya kedudukan Orang Asli ini.

“Saya ingin melaporkan kerja-kerja awam pembangunan projek ini telah dimulakan dengan memperoleh kelulusan-kelulusan diperlukan antaranya Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekitar, Kajian Impak Sosial, serta Kajian Impak Warisan.

“TNB memaklumkan Kajian Impak Sosial akan membuat satu galeri yang dipanggil mini warisan dan budaya orang Asli Nenggiri,” katanya.

Takiyuddin berkata, kajian penerimaan awam yang dijalankan bagaimanapun menunjukkan tahap penerimaan projek itu oleh penduduk di tiga perkampungan tersebut meningkat daripada 80 peratus pada 2018 kepada 86 peratus pada Mac 2020.

“Tinjauan ini mencerminkan masyarakat terbabit sudah memahami dengan jelas pembangunan yang akan berlaku di kawasan mereka dan manfaat bakal diperoleh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya