MELAKA: UMNO pernah menawarkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pas atas semangat Muafakat Nasional (MN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun ditolak parti itu semata-mata ingin bersama ‘teman baharu’.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu jelas membuktikan bahawa UMNO tidak pernah meninggalkan wadah MN, apatah lagi mahu mengkhianati piagam yang dimeterai demi kepentingan orang Melayu dan Islam.
Beliau berkata, tiada yang pelik seandainya Pas meramalkan Barisan Nasional (BN) tidak mampu bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerana sebelum ini parti itu juga pernah menyatakan bahawa BN hanya mampu menang di 11 kerusi DUN dalam PRN Melaka.
“Itu kata Pas, dia kata kita di Melaka cuma boleh menang 11 kerusi. Itu sebabnya dia tak mahu bersama dengan kita, dia bersama dengan teman baru dia. Tak apalah itu kata dia kan? Itu sebab saya kata tadi kita kena kerja kuat.
“Kami tak tinggalkan sesiapa, kami tak tinggalkan MN, mereka yang tinggalkan MN. Kami nak bersama di Melaka, dia minta tiga (kerusi DUN) kami bagi lima. Macam berniaga di Mekah la kan? Beli tiga dapat dua free (percuma).
“Tapi masih tak mahu bersama, siapa yang mengkhianati siapa? Begitu juga di Johor, but no problem (tetapi tiada masalah) kita pun tiada isu sebab MN ini tidak mengikat. MN tidak mengikat sesiapa, ia bukan satu perjanjian tapi piagam,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatannya meninjau persiapan BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pas mengulangi pendirian akan berlawan habis-habisan di 27 kerusi Parlimen sekiranya UMNO dan BN masih kekal mahu bertanding secara solo menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tiada pilihan melainkan perlu bersedia ‘berperang’ dengan BN, jika parti itu berpendirian mahu bergerak sendiri.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan cakap-cakap bahawa BN belum cukup bersedia melangkah ke gelanggang PRU15 sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan sekarang, Mohamad berkata, hanya ‘pengamal politik’ mengetahui situasi sebenar berbanding ‘peramal politik’ yang banyak membuat ramalan pada masa ini.
“Pilihan raya ini subjektif, itu sebab kita kata tadi ramai peramal-peramal politik sekarang ini, mereka itu peramal tapi kita ini pengamal.
“Pengamal ini sebenarnya yang tahu, peramal ini dia tak tahu apa pun, dia pakai ramal sahaja. Peramal ini kadang-kadang ikut ‘pengerasnya’ juga kan?,” jelasnya. – UTUSAN