DAP dakwa Melaka Gateway tiada laporan EIA - Utusan Malaysia

DAP dakwa Melaka Gateway tiada laporan EIA

KHOO Poay Tiong (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong ketika sidang akhbar khas Melaka Gateway tanpa laporan EIA di Pulau Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka digesa menghentikan segera projek Melaka Gateway kerana didakwa belum mengemukakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, projek mega itu harus dihentikan sehingga siasatan penuh dijalankan dan penjelasan dibuat mengenai status laporan tersebut.

Menurut beliau, jawapan Kementerian Alam Sekitar dan Air ketika sesi Parlimen lalu bahawa pemaju, KAJ Development Sdn. Bhd. masih belum menyerahkan laporan bagi penilaian dan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Kerajaan negeri perlu memberi penjelasan mengenai hal ini dan ketidaktulusan projek akan menjejaskan integriti serta keyakinan rakyat terhadap barisan pentadbiran sekarang. Saya telah mengemukakan soalan bertulis kepada kementerian mengenai status laporan EIA projek tersebut, sama ada kelulusan diberikan atau sebaliknya pada sesi Parlimen lalu.

“Bagaimanapun, jawapan yang diberikan menteri bertarikh 8 Ogos lalu amat mengejutkan dan menyatakan syarikat terbabit tidak pernah mengemukakan apa-apa laporan EIA kepada JAS,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pulau Melaka di sini hari ini.

Poay Tiong berkata, kegagalan Melaka Gateway mengemukakan laporan EIA bertentangan dengan seksyen berkaitan dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling serta Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 2015.

Jelasnya, sebarang projek melibatkan penebus gunaan tanah (penambakan) khususnya yang melibatkan pulau buatan manusia ataupun yang melebihi 50 hektar perlu mendapatkan kelulusan EIA terlebih dahulu sebelum projek dilaksanakan.

“Melaka Gateway bukan sahaja gagal mencapai matlamat yang ditetapkan, malah merosakkan alam sekitar dan pesisir pantai di Melaka. Saya juga akan berbincang dengan penduduk tempatan dan peguam untuk menentukan sama ada tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kes ini kerana berkaitan dengan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya