KUALA LUMPUR: Nooryana Najwa sukar menerima hakikat selepas melihat bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak kini sedang menjalani kehidupannya di penjara.
Katanya, detik mahkamah menolak rayuan bapanya dan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta adalah saat paling sukar dalam hidupnya.
“Hasil kerja keras daddy membuahkan hasil apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diterima rakyat, tetapi daddy kini bersendirian, keseorangan.
“Umur daddy hampir 70 tahun, tak patut dia hidup macam ini. Rumah tak sama tanpa daddy, Kiki pun menunggu daddy.
“Tiada lagi posting dari bossku. Dia pun tidak lagi bersama kita di dewan ini,” katanya ketika meluahkan perasaannya pada Taklimat Khas Presiden UMNO hari ini.
Namun, beliau enggan mengalah sebaliknya mahu terus berjuang untuk bapanya.
“Saya menanam janji saya akan lakukan yang terbaik, kita akan buat untuk ayah.
“Saya pegang erat kata bossku, teruskan perjuangan kita dan kita serahkan kepada Allah,” katanya. – UTUSAN