PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,490 kes berbanding kelmarin, 4,071 kes sekali gus mengatasi 3,193 kes sembuh.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Kuala Lumpur menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 915 kes diikuti Selangor (796), Perak (303), Sabah (272), Negeri Sembilan (241), Pinang Pinang (142), Melaka (141), Sarawak (133), Putrajaya (130) dan Johor (116).
Bagi negeri catat bawah 100 kes iaitu Kedah (97), Kelantan (83), Pahang (76), Terengganu (37), Labuan (5) dan Perlis tiga kes.
Pesakit Covid-19 yang diwadkan seramai 445 orang berbanding kelmarin, 556 orang.
Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 75 kes berbanding jumlah kelmarin, 81 kes.
Bagaimanapun, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan 45 kes bersamaan jumlah kelmarin.
Bagi kluster Covid-19 pula, tiga kluster baharu direkodkan sekali gus menjadikan sebanyak 34 kluster yang masih aktif dengan keseluruhan 7,063 kluster.
Tiga kluster baharu melibatkan dua kategori berisiko tinggi iaitu Kluster Persiaran Puchong Jaya Selatan di Petaling, Selangor melibatkan 12 kes dan Kluster Jalan Manjoi di Kinta, Perak melibatkan 10 kes.
Satu lagi kluster adalah kategori pendidikan iaitu Kluster Jalan Slim 2 di Muallim, Perak melibatkan lapan kes.
Dalam perkembangan melibatkan kematian Covid-19, Malaysia mencatatkan enam kes berbanding jumlah kelmarin, sembilan kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,130 kes manakala, tiada kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan dan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,677kes. –UTUSAN










