PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka kekal di atas 1,510 mata berdasarkan sentimen yang sedikit positif di Amerika Syarikat (AS), menurut penganalisis.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pembelian ekuiti oleh pelabur asing dan prestasi itu dijangka berterusan minggu ini.
“Bagi ringgit pula, ia dijangka kekal lemah berbanding dolar AS kerana jangkaan kadar faedah dinaikkan lagi oleh Rizab Persekutuan yang menyebabkan dolar AS menjadi lebih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, menurut Malacca Securities Sdn. Bhd., memandangkan pasaran AS masih mencari hala tuju, bursa tempatan mungkin tidak banyak berubah ekoran aliran masuk dana asing yang lebih perlahan.
“Pelabur akan memberi tumpuan kepada musim pelaporan yang sedang berlaku untuk membeli dalam pasaran saham,” katanya dalam nota penyelidikan.
Ujarnya, harga minyak mentah telah melonjak melebihi paras AS$96 (RM429.74) setong, manakala minyak sawit mentah (MSM) didagangkan melebihi RM4,000 satu tan.
“Kami berpendapat momentum positif dalam sektor tenaga akan kekal memandangkan harga minyak mentah menunjukkan peningkatan manakala syarikat minyak dan gas terpilih telah melaporkan prestasi yang baik.
“Selain itu, sektor seperti perbankan, pengguna dan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dijangka kekal menarik sepanjang musim pelaporan keuntungan,” katanya.
Pada pagi dagangan Jumaat lalu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.22 mata kepada 1,516.84 daripada 1,516.62 ketika ditutup pada sesi dagangan Khamis.
Setakat pukul 4 petang Jumaat, penanda aras FBM KLCI menurun sebanyak 12.18 mata kepada 1,504.44 mata.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 478 berbalas 339 manakala 422 kaunter tidak berubah dan 1,071 kaunter tidak diniagakan.
Ringgit pula meneruskan aliran menurun berbanding dolar AS dengan dibuka rendah pada Jumaat berikutan permintaan terhadap dolar terus melonjak susulan bacaan positif ekonomi AS, kata penganalisis.
Pada pukul 9 pagi Jumaat, mata wang tempatan susut kepada 4.4795/4820 berbanding dolar AS daripada 4.4720/4750 ketika ditutup Khamis lalu, sebelum berada pada 4.4705/4754 berbanding dolar AS ketika penutup sesi dagangan minggu lalu. – UTUSAN