Bubar pastikan BN menang - PM

Bubar pastikan BN menang – PM

TEMURAMAH Khas Ismail Sabri Yaakob sempena setahun beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat per­timbangan teliti antara isu-isu politik dan kemelesetan ekonomi global sebelum memutuskan membubarkan Parlimen demi memastikan Barisan Nasional (BN) mudah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, isu kapal tempur pesisir (LCS) jika tidak dikendalikan dengan betul akan mirip isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang digunakan pembangkang sehingga menyebabkan BN kalah.

“Kalau terlampau lewat (PRU15) tahun depan, ekonomi dunia pun dalam keadaan yang tak menentu. Pak Jokowi (Presiden Indonesia, Joko Widodo) sudah beritahu dan PM Lee (Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong) pun beritahu tahun depan tidak baik dari segi ekonomi.

“Itulah saya nak tengok keseimbangan antara dua itu yang mana lebih memudahkan kita untuk menang. Sebab kalau pilihan raya, saya mewakili parti saya jugalah. Tentu bila kita bubar Parlimen, kita dah tahu yang kita (BN) akan menang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama para editor media cetak dan elektronik sempena Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia di Seri Perdana di sini baru-baru ini.

Pada 14 Ogos lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada maj­lis penutup Konvensyen Wanita BN menjangka PRU15 diadakan dalam tahun ini walaupun tempoh PRU14 hanya akan tamat pada Julai 2023.

Kata Ahmad Zahid, jangkaan itu dibuat kerana kebimbangan jika dibiarkan lebih lama, peluang untuk BN mendominasi PRU15 terlepas kerana isu LCS yang ‘direka cipta’ pembangkang.

Presiden UMNO itu turut meluahkan keyakinan bahawa Ismail Sabri sebagai Naib Presiden dan orang parti akan mendengar nasihat dan pandangan yang dikemukakan ketika pertemuan lima kepimpinan tertinggi parti itu atau Top 5.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, semua pihak boleh mengemukakan pandangan mengenai tarikh PRU15 tetapi akhirnya mereka perlu faham bahawa  “Perdana Menteri yang ada kuasa menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon membubarkan Parlimen”.

“Itu kuasa Perdana Menteri menghadap memohon pembubaran. Tetapi kuasa Agong adalah membenarkan atau tidak pembubaran. Ramai orang lupa seolah-olah kuasa itu kuasa kita. Apabila Perdana Menteri menasihatkan untuk membubarkan Parlimen, Agong boleh bertitah tidak. Kalau Agong bertitah tidak, (maka) tidak boleh cabar kuasa Agong di mahkamah.

“Jadi, Top 5 boleh beri cadangan kepada saya dan saya perlu juga bincang di dalam Kabinet dan beri juga pandangan kepada mereka sebab dalam Perlembagaan Persekutuan, menasihatkan Agong itu adalah kuasa Kabinet ataupun menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet.

“Menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet sayalah untuk berbincang dengan Agong. Maknanya, Kabinet pun ada suara dari segi perlembagaan. Orang terlupa perkara ini sebab dulu tak payah bincang pun dalam Kabinet. Sebab kita  (BN) 100 peratus waktu itu, sekarang ini kita bukan 100 peratus,” katanya.

Ditanya adakah Bajet 2023 akan turut mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, Ismail Sabri mengesahkan perkara itu akan diambil kira pada sesi pembentangan bajet Oktober ini.

Beliau berkata, bajet itu merangkumi dan akan menyentuh semua golongan sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran ekonomi 2023.

Kata beliau, pihaknya akan berjumpa dengan semua persatuan, komuniti perniagaan, peladang serta  pembangkang yang dari segi memorandum persefahaman (MoU) mereka mesti menyokong bajet.

Ditanya adakah Bajet 2023 boleh dianggap bajet pilihan raya, beliau berkata: “Kalau bajet pilihan raya, lepas bajet baru pilihan raya. Elok juga itu, saya boleh fikirkan.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN