"Saya bersama-sama ahli keluarga ke stor itu pada awal pagi Ahad

Berang diberhentikan kerja, pemuda pecah stor dan larikan barangan RM20,000

STOR kereta di Sungai Tiram yang dipecah masuk suspek bersama-sama dua rakannya yang turut dijadikan tempat menghisap dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara berang diberhentikan, seorang pemuda bertindak memecah masuk sebuah stor kereta milik bekas majikannya di Sungai Tiram, dekat sini dan melarikan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM20,000.

Pemilik stor kereta, Mohamad Hussin Jamal, 36, berkata, suspek berusia 24 tahun itu yang bersenjatakan pisau hampir mencederakan pekerja stor dalam kejadian pada awal bulan ini.

Namun, beliau hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada Sabtu lalu kerana pekerjanya yang digertak suspek supaya mengunci mulut tentang kejadian itu.

“Pekerja stor mendakwa dia diugut suspek supaya merahsiakan perbuatan mereka memecahkan masuk stor kereta itu yang turut dijadikan tempat mereka menghisap dadah.

“Saya bersama-sama ahli keluarga ke stor itu pada awal pagi Ahad lalu untuk meninjau keadaan, namun dikejutkan apabila mendapati bekas pekerja saya bersama-sama dua rakannya sedang melepaskan gian di premis tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Hussin berkata, mereka sempat memberkas dua rakan suspek namun bekas pekerjanya itu berjaya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

Dua lelaki tersebut diserahkan kepada polis sebelum membuat laporan mengenai kejadian kecurian itu di Balai Polis Ulu Tiram, Ahad lalu.

Suspek pernah bekerja di stor berkenaan kira-kira enam bulan sebelum diberhentikan kerja pada 24 Julai lalu kerana sikapnya yang panjang tangan.

“Saya mengenali lelaki berkenaan menerusi kenalan dan berniat membantunya yang sedang menganggur di kampung halaman selepas kehilangan pekerjaan di sebuah syarikat pelancongan di Pulau Langkawi.

“Saya melihatnya sebagai seorang yang boleh diharap lalu menawarkan pekerjaan kepada lelaki berkenaan di stor terbabit. Tak sangka pula dia sanggup ambil kesempatan dan mencuri di tempat kerja.

“Saya lebih terkejut dia sanggup menceroboh masuk stor selepas diberhentikan dan melarikan barangan termasuk bateri, rim, komponen kereta bernilai keseluruhan RM20,000,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan daripada mangsa yang merupakan pengusaha bengkel membaiki kereta dan turut memaklumkan suspek sudah diberkas petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu samun menggunakan senjata. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya