SEREMBAN: Ujian bertimpa ditanggung seorang bekas atlet skuasy yang menderita penyakit dalam perut dan angin pasang sehingga hilang punca pendapatan dan terputus bekalan makanan, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, Faris Danial Mohd. Amir Raja, 28, yang sepatutnya menjadi harapan keluarga buntu apabila keadaan kesihatannya semakin merosot dan dalam masa sama kedua-dua ibu bapanya yang tinggal bersama turut sakit.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, penyakit tersebut menyebabkannya sering mengalami semput, badan lemah, mudah pitam yang menyukarkannya bekerja.
“Saya mengalami penyakit antral gastrisis dan gerd (masalah dalam perut) serta hiatus hernia (angin pasang) tahap dua pada November tahun lalu. Pada mulanya saya sesak nafas, tidak sangka ia adalah petanda kepada masalah ini.
“Saya pernah cuba berniaga nasi lemak, donut dan minuman tetapi hanya mampu bertahan beberapa bulan kerana tidak kuat serta makin lemah. Malah berat badan menyusut daripada 75 kilogram (kg) kepada 45kg,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Warisan Puteri di sini, semalam.
Faris Danial yang pernah bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan mewakili negara dalam sukan skuasy ke luar negara 10 tahun lalu memberitahu, apa yang lebih menyukarkan, dia kini tidak boleh mengambil makanan sebarangan kerana perutnya akan sakit seperti dihiris pisau.
“Saya hanya boleh makan makanan yang direbus seperti dada ayam, lobak merah dan sawi serta badam. Jadi saya lebih sanggup tidak makan makanan lain daripada menanggung rasa sakit perut seperti dihiris,” katanya.
Faris Danial memberitahu, keadaan tersebut menyebabkan dirinya turut disahkan doktor mengalami ‘panic disorder’ (gejala kecelaruan panik) yang mana ia secara tiba-tiba menyerang dengan simptom seperti degupan jantung laju dan berpeluh.
Bercerita lanjut, Faris Danial berkata, wang simpannya telah habis dan dia pernah meminta ihsan daripada saudara dan kawan-kawan selepas terputus bekalan makanan minggu lalu.
Katanya, bapanya, Mohd. Amir Raja Abdullah, 58, menghidap penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung manakala ibunya Nor Laila Hassan, 58, mengalami tiroid.
Dalam keadaan kesempitan, Faris Danial berkata, ayahnya kini bekerja sebagai pembantu kedai dengan gaji RM25 sehari dan duit itu digunakan untuk makanan mereka dan kos perubatan.
“Setiap bulan saya memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kos perubatan, vitamin dan makanan khas,” katanya yang memberitahu adik beradiknya ada membantu sekadar yang mampu kerana mereka juga baru bekerja semula selepas pandemik Covid-19
Malah, Faris Danial berkata, bayaran sewa rumah berjumlah RM3,900 masih tertunggak selama enam bulan dan sebelum ini Majlis Agama Islam Negeri Sembilan telah membantu menyelesaikan bayaran lima bulan sewa yang tertunggak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Faris Danial di talian 011-39273970 atau menerusi akaun bank CIMB 7025369409. – UTUSAN