Bebas merokok bukan satu kebebasan asasi, tidak dijamin Perlembagaan

Bebas merokok bukan satu kebebasan asasi, tidak dijamin Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Merokok bukan suatu kebebasan asasi dan tidak dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, merokok adalah pilihan peribadi dan bukan satu hak Perlembagaan yang dipelihara di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan untuk Kebebasan Asasi. 

Kata beliau, Konvensyen antarabangsa tentang hak asasi, kebebasan dan kesamarataan juga tidak memperuntukkan hak atau kebebasan untuk merokok, sebaliknya memperuntukkan hak untuk hidup, kesihatan dan pemeliharaan alam. 

Beliau menjelaskan, hak kemanusian untuk hidup adalah hak asasi yang diiktiraf di bawah konvensyen antarabangsa seperti di bawah Artikel 3 Universal Declaration of Human Right (UDHR), Artikel 6 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Artikel 6 Convention on the Rights of the Child (CRC) bagi kanak-kanak. 

“Hak untuk kesihatan pula antaranya diiktiraf di bawah Artikel 12 International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR). 

“Bertentangan dengan hak untuk hidup, kesihatan dan pemeliharaan alam, amalan merokok sebaliknya mengundang bahaya kepada diri perokok, mendedahkan bahaya asap rokok kepada penghidu asap rokok dalam kalangan bukan perokok, kanak-kanak dan mereka yang menghidapi masalah pernafasan seperti pesakit asma,” katanya di sini semalam.

Zainuddin berkata, akibat dari kesan negatif rokok, banyak perundangan dan polisi anti rokok yang diratifikasi di bawah konvensyen antarabangsa, antaranya WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang antaranya mengawal penggunaan tembakau. 

Justeru, katanya, Rang Undang-Undang  Larangan merokok yang dicadangkan dan dibentang di Parlimen dari sudut undang-undang, tidak melanggar hak kebebasan diri yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut beliau, di bawah Perlembagaan Persekutuan, walaupun hak kebebasan diri dijamin di bawah Perkara 5, ia bukanlah suatu hak yang mutlak tetapi tertakluk kepada undang-undang.

“Perkara 5 menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri, yang mana tiada orang boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. 

“Selain tidak jatuh di bawah Perkara 5, larangan merokok untuk mereka yang lahir selepas tahun 2007 yang dicadangkan dalam RUU juga tidak melanggar Perkara 8 untuk hak keseramarataan di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana merokok itu sendiri bukan suatu hak yang dijamin di bawah Perlembagaan,” katanya.

Kata beliau, tegahan di bawah RUU merupakan suatu yang dibenarkan di bawah Perkara 8 (5) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan peruntukan mengawal selia undang-undang diri. 

Mengambil kira perkembangan semasa dunia, jelasnya, RUU Larangan Merokok bukan hanya dicadangkan di Malaysia, tetapi juga ada dibentangkan di beberapa negara lain seperti di New Zealand. 

Malah, sudah terdapat beberapa keputusan mahkamah di England dan New Zealand yang mencabar larangan merokok sebagai suatu pencabulan kebebasan hak asasi, yang mana dalam kes-kes tersebut mahkamah memutuskan bahawa larangan merokok bukanlah suatu pelanggaran kebebasan hak asasi. 

Dalam satu keputusan Mahkamah Rayuan di England [R. (on the application of N) v. Secretary of State for Health, [2009]) terhadap larangan merokok, cabaran dibawa bahawa larangan merokok melanggar hak untuk kediaman dan kehidupan peribadi yang dijamin di bawah Perkara 8(1) European Convention of Human Right (ECHR).

“Bagaimanapun, mahkamah menolak dan menyatakan bahawa hak tersebut tidak jatuh di bawah Perkara 8(1), malah sekiranya hak tersebut ada sekalipun, Perkara 8(1) dibataskan dan larangan merokok boleh dibenarkan di bawah Perkara 8(2) sebagai suatu keperluan dalam satu masyarakat demokrasi untuk perlindungan kesihatan  dan perlindungan hak serta kebebasan orang lain,” katanya. 

Zainuddin turut mengambil contoh satu keputusan lain di New Zealand (B. v. Waitemata District Health Board [2013]), Mahkamah di New Zealand telah merujuk dan bersetuju dengan keputusan kes di England tersebut dan memberi keputusan yang sama iaitu larangan merokok sekiranya diluluskan dalam suatu masyarakat demokrasi, ia bukanlah suatu pencabulan kebebasan dan hak asasi manusia. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya